Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan teruk selepas jarinya tersepit di dalam sebuah mesin pengisar daging di sebuah restoran di Jalan Kenyalang, Piasau Utara.
MIRI – Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan teruk selepas jarinya tersepit di dalam sebuah mesin pengisar daging di sebuah restoran di Jalan Kenyalang, Piasau Utara di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 8.50 pagi tadi.
Katanya, sejurus itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati keempat-empat jari tangan kanan mangsa tersepit di dalam mesin pengisar tersebut.
“Pasukan bomba berjaya membuka dan meleraikan beberapa bahagian mesin itu, namun usaha untuk mengeluarkan empat jari mangsa masih sukar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah jurucakap sama, mangsa kemudian dirujuk terus ke unit kecemasan untuk tindakan lanjut pihak hospital. – K! ONLINE