MIRI: Polis Miri semalam menahan tiga rakan mereka, termasuk seorang berpangkat Lans Koperal dan seorang penjawat di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, selepas disyaki melakukan peras ugut dan kurungan salah terhadap seorang tukang masak.
Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, kes berlaku pada jam 5 pagi Ahad lalu apabila mangsa telah berkunjung ke belakang Stadium Miri untuk berjumpa dengan rakannya.
“Apabila mangsa tiba di sana, dia telah ditahan oleh tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai polis.
“Mangsa telah diarah masuk kembali ke dalam keretanya, diikuti oleh suspek-suspek.
“Salah seorang daripada mereka telah menunjukkan satu beg plastik yang mengandungi ketulan putih disyaki syabu.
Suspek kata Dev, telah menuduh bahawa mangsa terlibat dalam kes pengedaran dadah dan telah meminta wang sebanyak RM10 ribu untuk melepaskannya.
“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank di bandar Miri untuk mengeluarkan duit melalui mesin teler automatik.
Bagaimanapun katanya, akaun mangsa tidak mempunyai wang yang mencukupi lalu dia dibawa ke sebuah hotel di Miri dan dikurung di dalam sebuah bilik.
“Setelah sejam dikurung, mangsa telah memberitahu suspek bahawa ibunya boleh menyediakan wang dan meminta untuk dibawa balik ke rumahnya.
“Setelah tiba di rumahnya di Pujut, mangsa telah menghubungi pihak polis melalui telefon untuk bantuan.
Menyedari mangsa telah menghubungi pihak polis, kesemua suspek telah telah bertindak melarikan diri.
“Bagaimanapun ketiga-tiganya berjaya dicekup pada Selasa lalu di antara jam 12.30 tengah hari dan 4.00 petang di IPD Miri.
Suspek pertama merupakan angota polis pangkat Lans Koperal, berumur 39 tahun, manakala suspek kedua merupakan Konstabel Sokongan, berumur 34 tahun.
Suspek ketiga katanya lagi, merupakan pegawai awam Gred N11, berumur 37 tahun.
Ketiga-tiganya bertugas di IPD Miri dan didapati positif dadah jenis syabu ketika ditahan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 385/342 Kanun Keseksaan. –Sarawakvoice