SARIKEI: Seorang lelaki terpaksa menahan sakit selama dua jam akibat tercucuk besi di bahagian perut sebelah kanan setelah terlibat dalam kemalangan kendiri di Kilometer 30 Jalan Sarikei-Saratok, malam tadi.
Dalam kejadian terbabit, mangsa yang berusia 29 bersama dengan seorang wanita, 20 tahun, sedang dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Sibu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Suna Kaha berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 12 malam.
“Berdasarkan keterangan dari wanita terbabit, kereta yang dinaiki mereka telah hilang kawalan ketika menuruni bukit dan melalui satu selekoh tajam di lokasi kejadian,dan terbabas ke tepi jalan di lorong sebelah kanan jalan.
“Akibat daripada itu, lelaki berkenaan telah tercucuk besi berbentuk cangkuk mata kail yang bersaiz 0.5 inci dan anggaran panjang sekitar 30 sentimeter.
“Menurut wanita terbabit juga, dia turut bertindak untuk menahan beberapa buah kereta yang melalui lokasi terbabit untuk memohon bantuan, namun tiada satu pun kereta yang berhenti,” kata Suna dalam kenyataan kepada media, tadi.
Berikutan itu kata Suna, wanita terbabit telah bertindak dengan berjalan kaki untuk mendapatkan bantuan daripada penduduk rumah panjang Rumah Umpit, Brayang di lokasi berhampiran untuk mendapatkan bantuan.
“Sebaik sahaja tiba di rumah panjang berkenaan, penduduk telah membantu wanita berkenaan untuk membuat panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan dan seterusnya membawa mangsa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan,” kata Suna lagi.
Keadaan lelaki tersebut dikatakan stabil setakat berita ini ditulis. -Utusan Borneo Online