LIMBANG: Seorang pekerja kapal maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah pikap di Kilometer 11, Jalan Pandaruan petang semalam.
Mangsa Mohd Zulkarnain Katok, 29 dari Kampung Sayong yang bekerja di Brunei Darussalam, maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku jam 2 petang.Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata mangsa dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Jalan Pandaruan.
“Apabila mangsa tiba di KM 11 Jalan Pandaruan, tiba-tiba sebuah pacuan empat roda dengan nombor
pendaftaran Sabah yang datangdari arah bertentangan telah hilang kawalan lalu memasuki ke laluan mangsa dan melanggar bahagian depan motosikal mangsa,” katanya malam tadi.
Akibat dari kemalangan itu katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara pemandu pikap tidak mengalami kecederaan serius.Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Utusan Borneo Online