Rakyat mahu BR1M diteruskan 0 5659

PEKAN: Kumpulan pertama yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mengharap bantuan itu dapat diteruskan pada masa depan kerana ia banyak membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Seorang penerima Hayati Mohamad, 54, berkata selain untuk perbelanjaan, wang BR1M yang diterima selama ini turut dijadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan di pasar malam.

“Walaupun bagi sesetengah orang bantuan yang diberikan ini hanya sedikit, namun amat bermakna bagi kami…dengan duit ini juga saya gunakan untuk waktu-waktu kecemasan seperti biaya perubatan anak-anak jika mereka sakit,” kata ibu tunggal itu kepada Bernama ketika ditemui selepas menerima wang BR1M hari semalam.

Seramai 2,000 penduduk dari sekitar Parlimen Pekan menjadi penerima pertama BR1M yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Konvensyen Sultan Hj Ahmad Shah di sini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pengagihan fasa pertama BR1M pada tahun ini bermula hari ini melibatkan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion untuk kira-kira tujuh juta penerima di seluruh negara yang akan dilakukan dalam tiga fasa.

Sementara itu, Mohamad Faiz Hakimi Abdul Rahim, 29, yang pertama kali memohon BR1M berkata kesukaran untuk memohon bantuan itu secara dalam talian tidak menghalangnya untuk terus mencuba sehingga permohonannya lulus.

“Saya berharap pemberian ini akan berterusan walaupun terdapat segelintir yang tidak menyokong dan melontarkan pelbagai kata-kata negatif termasuk dedak dan sebagainya,” katanya yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat swasta di sini.

Seorang penerima warga emas pula, Maimun Alias, 60, berkata pemberian itu amat membantu terutama kepada golongan ibu tunggal seperti beliau.

“Orang macam mak cik ini dah tak ada tempat bergantung, dengan bantuan BR1M yang diberikan dapat juga menampung sedikit bebanan dan ini juga menunjukkan kerajaan prihatin dengan rakyat. Mak cik memang setiap tahun dapat bantuan ini…terima kasih pada perdana menteri dan jika boleh kami amat mengharapkan agar jumlah bantuan ini dapat ditingkatkan pada masa depan,” katanya.

Bayaran BR1M mula diperkenalkan pada 2012 dengan bayaran RM500 bagi pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah disusuli RM500 pada 2013, 2014 (RM650), 2015 (RM950), 2016 (RM1,000), 2017 (RM1,200) dan 2018 (RM1,200). — BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15227

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8396

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news