SIBU: Dianggarkan 5,000 isi rumah di sini terjejas akibat kerja membaiki paip yang bocor semalam.
Ini termasuk di sekitar kawasan perumahan Taman Kemuyang dan Sibu Jaya.
“Gangguan bekalan air akan berlaku disebabkan tekanan air yang rendah.
“Kebocoran itu dikesan petang semalam,” kata sumber daripada Lembaga Air Sibu (LAS) kepada pemberita semalam.
Pada masa yang sama, beliau berkata kerja pembaikan telah mencapai kira-kira 60 peratus siap.
Menurut maklumat yang disiarkan dalam laman sosial Facebook LAS semalam, kejadian paip bocor telah dikesan di Lorong Salim 5B, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini.
Terdapat kebocoran pada paip keluli ringan 600mm utama akibat tanah mendap.
Kerja-kerja membaiki paip bocor berkenaan telah bermula jam 10 pagi semalam.
Kontraktor LAS melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.