KUCHING: Ahli-ahli Parlimen (MP) Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited dalam mengetengahkan dan menjaga kepentingan negeri agar ia diberi perhatian sewajarnya kerajaan persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, tindakan proaktif dan kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perjumpaan membuktikan MP GPS berupaya, sentiasa waspada dan relevan dalam usaha mengetengahkan pelbagai isu yang membabitkan kepentingan negeri untuk perhatian kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri.
Beliau mendedahkan, pelbagai perkara berkaitan dibangkitkan oleh MP GPS sewaktu sidang parlimen baru-baru ini.
“Dan, mungkin MP kita berasakan jawapan atau respons yang diberikan oleh kerajaan persekutuan tidak memadai atau belum selesai.
“Maka itu, sebagai MP GPS, adalah perlu dan wajar bagi MP kita untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada PM tentang perkara penting yang memerlukan pertimbangan yang serius oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Pada masa sama, Abdullah memberitahu, antara perkara penting itu, pembiayaan persekutuan bagi projek pembangunan, sekolah daif, rundingan mengenai penurunan kuasa pentadbiran, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta royalti gas dan minyak.
Menurutnya lagi, pendapat atau andaian bahawa perubahan kuasa di peringkat persekutuan akan menjejas kedudukan serta kekuatan GPS adalah tidak benar kerana kerajaan GPS di Sarawak berada dalam kedudukan yang lebih stabil dan kukuh dalam mengurus masa depan Sarawak.
Sehubungan itu, tegasnya, pertemuan di antara PM dengan MP GPS ada bukti bahawa kerjasama pentadbiran dapat diwujudkan antara kerajaan negeri dan persekutuan walaupun ditadbir oleh gabungan parti politik yang berlainan.
“Perkara yang tidak dapat dipertikaikan dan mesti diiktiraf adalah perlembagaan kita ada peruntukan yang menyenaraikan kewajipan atau tanggungjawab kerajaan persekutuan dalam hal-hal yang berkaitan dengan pembiayaan projek pembangunan terutama di luar bandar.
“Pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan, maka mereka tidak harus mengelak untuk bertanggungjawab tentang isu sekolah-sekolah yang usang di Sarawak,” ujarnya. – Utusan Borneo Online