KUCHING: Calon Pakatan Harapan Parlimen P194 Petra Jaya, Datuk Dr Ir Nor Irwan Ahmat Nor bengang dan kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membakar bendera partinya.
“Pada petang semalam, saya telah dimaklumkan oleh jentera parti bahawa bendera-bendera dan bahan kempen lain milik parti di Parlimen Petra Jaya telah dibakar dan dirosakkan di Jalan Nanas Barat, berhadapan pasar raya Unaco, Kampung Kudei.
“Laporan polis telah dibuat oleh wakil calon dan saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan samseng dan tidak bertamadun ini.
“Saya berharap siasatan segera dapat dilakukan untuk membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
Katanya, sejak awal lagi beliau telah menegaskan, walau apa pun pendirian politik mana-mana pihak, semua pihak wajib berkempen secara berhemah, berdisiplin dan bertamadun.
“Saya berharap kejadian ini akan menjadi yang pertama dan juga yang terakhir untuk kempen pilihan raya kali ini.
“Saya mendoakan pihak yang terlibat dalam kejadian ini akan diberi hidayah oleh Allah S.W.T untuk menjadi seorang manusia yang berhemah dan beradab.
Tegasnya, walau apa pun tindakan ala samseng dan ugutan ke atasnya, beliau tidak akan gentar dan akan terus melawan demi rakyat. –Sarawakvoice