Biarpun sedang menjalani rawatan untuk masalah barah atlet badminton negara Datuk Lee Chong Wei tetap menampakkan semangat yang tinggi.
Pada usia 35 tahun dan menghidap barah hidung peringkat awal Chong Wei berkata dia bertekad untuk kembali beraksi di gelanggang.
“Tunggu saya. Saya akan kembali ke gelanggang. Jangan lupakan saya lagi, saya masih ada di sini,” katanya seperti dipetik portal berita mStar Online hari ini.
Pemenang tiga pingat perak sukan Olimpik itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Taiwan dan dijangka pulang ke Malaysia hujung bulan ini.
Semalam Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Seri Norza Zakaria mengesahkan Chong Wei menghidap barah peringkat awal namun proses rawatan yang dijalankan mendapati tindak balas daripada atlet terbabit adalah positif.
Kementerian Belia dan Sukan pula menegaskan kerajaan sedia memberi sokongan kepada Chong Wei bagi menghadapi situasi berkenaan.
Kata Chong Wei dia masih mahu terlibat dalam pertandingan kompetetif selepas selesai menjalani rawatan berkenaan.
Dia berada di Taiwan bersama isterinya Wong Mew Choo.
Turut menemani ialah dua anak mereka iaitu Kingston dan Terrance.
Chong Wei juga menyatakan rasa terharu atas keprihatinan ditunjukkan rakyat Malaysia.
“Saya akan beri kenyataan lanjut selepas pulang nanti,” katanya.