SINGAPURA: Harga minyak turun hari ini selepas laporan industri menunjukkan peningkatan yang tidak dijangka dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS), tetapi keyakinan berhubung pemeteraian rundingan perdagangan fasa pertama AS-China mengehadkan penurunan lanjut.
Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent turun 19 sen, atau 0.3 peratus, kepada AS$64.08 satu tong pada 0145 GMT. Brent naik kira-kira satu peratus pada Selasa.
Niaga hadapan minyak West Texas Intermediate (WTI) turun 17 sen, atau 0.29 peratus, kepada AS$58.24 satu tong.
Penurunan hari ini menyongsang kenaikan dua hari dengan WTI menokok 1.1 peratus sehingga Selasa dan Brent menambah 1.4 peratus dalam tempoh sama susulan jangkaan bahawa China dan AS, dua pengguna minyak mentah terbesar di dunia, akan memeterai perjanjian awal yang akan menamatkan perang perdagangan yang berlangsung selama 16 bulan.
Simpanan minyak mentah AS meningkat sebanyak 3.6 juta tong pada minggu berakhir 22 November kepada 449.6 juta, berbanding pengurangan 418,000 tong yang diramalkan penganalisis, demikian menurut data American Petroleum Institute (API).
Data inventori rasmi Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) AS akan dikeluarkan lewat hari ini.
Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya yang dikenali sebagai OPEC+, akan mula bermesyuarat pada 4 Disember di Vienna bagi menentukan dasar pengeluaran berikutnya.
OPEC+ sebelum ini bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 1.2 juta tong sehari sehingga Mac 2020 bagi meningkatkan harga.
Mereka dijangka melanjutkan dasar itu, berkemungkinan sehingga Jun. – Reuters