LONDON: Jurgen Klopp memberi amaran kepada Pep Guardiola dan Manchester City bahawa Liverpool sedia merebut gelaran musim ini meskipun tewas dalam perlawanan Perisai Komuniti, malam tadi.
City meraikan trofi pertama musim baru Liga Perdana Inggeris menerusi kemenangan penalti 5-4 di Wembley selepas perlawanan sepenuh masa berakhir 1-1.
Pengurus Liverpool, Klopp puas hati dengan usaha yang dilakukan pasukannya pada babak kedua dan percaya mereka sudah menunjukkan kepada City yang pasukan itu sudah bersedia sepenuhnya menghadapi musim 2019-2020.
“Ia adalah persembahan yang sangat baik, sangat bertenaga dalam babak kedua,” katanya kepada BT Sport.
“Kedua-dua pasukan mengharungi pra musim yang lebih kurang sama – saya ada bercakap dengan Kevin de Bruyne selepas perlawanan dan kedua-dua kami berkata kami tidak tahu di mana tahap kami lagi.
“Sekurang-kurangnya kami layak mendapatkan keputusan seri. Keputusan ditentukan dengan satu penentuan dan saya tak boleh kecewa.
“Prestasi persembahan adalah lebih penting hari ini berbanding kemenangan. Kami tahu kami masih di sini, kami masih boleh bermain bola sepak dengan baik.
“Dalam babak pertama kami sepatutnya boleh melakukan lebih baik, tetapi kami juga mencipta beberapa peluang.
“Dalam babak kedua, kami mengubah beberapa perkara, kami mahukannya dan pada penghujungnya, kami sedikit bernasib baik. Tahniah kepada City. – AGENSI