Sibu: Polis menahan tiga suspek berusia antara 23 hingga 48 tahun ditahan berhubung kes penemuan seorang lelaki yang cedera parah dibelasah, termasuk dipercayai dipukul menggunakan objek berbahaya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian iti diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas mangsa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sibu kira-kira jam 9.56 malam tadi.
“Mangsa yang juga seorang sub-kontraktor sebuah syarikat utiliti ditemui cedera parah dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux oleh dua anggota polis yang menjalankan rondaan di Simpang Sungai Assan, Jalan Lanang jam 7.15 petang semalam.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaan parah dialaminya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, hasil imbasan pada kepala mangsa mendapati ada tiga kesan pendarahan pada bahagian kanan, hadapan dan tengah otak si mati.
“Mangsa turut mengalami kecederaan dengan kesan lebam di lengan kiri, luka kecil di tepi mata kanan dan luka serta lebam pada mata kirinya,” katanya.
Bertindak atas maklumat risikan, tiga suspek ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar bandar ini awal pagi tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Katanya, polis sedang memburu seorang lagi suspek lelaki berusia 43 tahun untuk membantu siasatan kes berkenaan, termasuk mengenalpasti motif sebenar kejadian. – SarawakVoice