SHANGHAI: Angel Gomes meledak gol kemenangan minit ke-81 untuk Manchester United ketika menewaskan Tottenham Hotspur 2-1 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa, sekali gus menamatkan jelajah pra-musim Asia dan Australia dengan empat kemenangan daripada empat perlawanan.
Gomes, 18, produk remaja United, meledak gol selepas Lucas Moura menyamakan kedudukan untuk Spurs yang ketinggalan di babak pertama susulan jaringan Anthony Martial. Sebelum itu United menewaskan Perth Glory, Leeds United dan Inter Milan.
Bagaimanapun kegembiraan pengendali United Ole Gunnar Solskjaer dicemari kecederaan lutut bek tengah Eric Bailly, yang terpaksa diusung keluar 10 minit selepas dimasukkan di babak kedua.
United bermula lebih baik berbanding finalis Liga Juara-Juara itu, dengan percubaan Martial menggegar gawang Spurs seawal minit keempat. Spurs turut menyaksikan pemain tengahnya Dele Alli memaksa David De Gea menepis sepakan leretnya.
United terus mengasak benteng Tottenham dan lorongan Andreas Pereira pada minit ke-21 menemui Martial yang bijak menewaskan penjaga gol Spurs, Paulo Gazzaniga.
Pemain baharu United, Daniel James menggunakan kepantasannya untuk memecah benteng Spurs dan Paul Pogba hampir menemui sasaran dengan rembatan jarak jauh sebelum rehat.
Solskjaer menukar kesemua pemainnya di babak kedua manakala pengendali Spurs Mauricio Pochettino hanya menukar enam pemain.
Skuad London itu menyamakan kedudukan pada minit ke-65 apabila rembatan Moura terkena Luke Shaw dan menewaskan penjaga gol gantian Sergio Romero.
Namun Gomes memastikan United pulang dengan rekod sempurna sepanjang jelajah kali ini apabila mengutip hantaran Juan Mata untuk menewaskan Gazzaniga. – Reuters