LIMBANG: Seorang pelajar Tingkatan Enam menerima tujuh jahitan di bibir selepas ditumbuk rakan sekolah di kawasan asrama sekolah menengah tersebut di sini, malam Sabtu lepas.
Mangsa, 18 ditumbuk oleh suspek yang juga pelajar Tingkatan Enam dalam kejadian sekitar 9 malam.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, kejadian berpunca daripada salah faham antara mangsa dengan suspek yang menyangka mangsa menjerit ke arahnya.
“Suspek yang marah kemudiannya menumbuk bahagian mata dan bibir sebelah kiri mangsa,” katanya kepada media hari ini.
Akibat kejadian itu katanya, mangsa menerima tujuh jahitan di bahagian bibir kiri.”Tiada senjata digunakan semasa kejadian dan pergaduhan hanya melibatkan mangsa dan suspek sahaja,” katanya lagi sambil menambah suspek sudah dikenalpasti.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengajamendatangkan kecederaan. -Utusan Borneo Online