Melaka: Sarawak United dan Terengganu II (TFCII) melebarkan rekod tanpa kalah masing-masing selepas seri 0-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.
Diberi tentangan sengit pelawat yang mengintai ruang mengejutkan tuan rumah namun usaha mereka gagal mencalar rekod kemenangan skuad Borneo.
Malah tiga percubaan TFC II pada minit ke-21, m-31 dan m-32 menerusi Muhammad Nur Azfar Fikri, Engku Muhammad Nur Sakir dan Muhammad Shafik Ismail namun berjaya diselamatkan penjaga gol Mohd Sarbinee Allawee selain terkena tiang gol Sarawak United.
Malah pelawat menguasai penghujung babak pertama menerusi gerakan menarik barisan tengah mereka sehingga membuka ruang buat Syakir melakukan rembatan pada minit ke-39 namun diselamatkan Sarbinee.
Peluang terbaik anak buah E Elavarasan hadir pada minit ke-10 namun percubaan Uche Agba dan Norshahrul Idlan Talaha (m-45) gagal menewaskan penjaga gol Mohd Suhaimi Husin.
Babak kedua memperlihatkan aksi lebih agresif buat Sarawak United untuk memburu jaringan, namun percubaan kencang Tommy Mawat pada m-60 berjaya ditepis Mohd Suhaimi.
Selebihnya, usaha kedua-dua pasukan tidak membuahkan hasil walaupun memiliki beberapa peluang terhidang namun gagal dimanfaatkan dengan jaringan.
Keputusan terbabit menyaksikan Sarawak United unggul tanpa tewas menerusi empat perlawanan dengan mengumpul 10 mata, sementara lawan juga yang belum kecundang meraih 7 mata daripada lima perlawanan. dari Harian Metro