SHANGHAI: Huawei Technologies Co Ltd memerlukan lebih banyak masa untuk menjadi pengeluar telefon pintar terbesar di dunia, matlamat yang pada awalnya disasarkan dicapai pada suku keempat tahun ini, kata eksekutif kanan syarikat.
“Kami bakal menjadi yang terbesar pada suku keempat (tahun ini) tetapi kini kami merasakan bahawa proses ini mungkin mengambil masa yang lebih lama,” kata Ketua Pegawai Strategi Huawei Consumer Business Group, Shao Yang, tanpa menjelaskan alasannya.
Huawei ketika ini menjual 500,000 hingga 600,000 telefon pintar setiap hari, katanya dalam ucapan di pameran teknologi CES Asia di Shanghai.
Ulasan itu datang selepas Amerika Syarikat (AS) meletakkan Huawei dalam senarai hitam bulan lalu yang menghalangnya daripada menjalankan perniagaan dengan syarikat AS atas dasar keselamatan tanpa kelulusan kerajaan, mendorong beberapa syarikat teknologi global untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar peralatan telekomunikasi terbesar di dunia itu.
Syarikat itu pada Januari berkata, ia bakal menjadi vendor telefon pintar terbesar di dunia tahun ini walaupun tanpa pasaran AS. Ia adalah vendor kedua terbesar pada suku pertama, di belakang Samsung Electronics Co Ltd dari Korea Selatan, menurut firma penyelidikan dan penasihat Gartner.
Penganalisis menganggarkan sekatan AS baru-baru ini boleh menolak turun penghantaran telefon pintar Huawei sebanyak seperempat tahun ini dan menyebabkan telefon bimbitnya kehilangan pasaran luar negara. – Reuters