KUCHING: Pasukan Tindakan Cepat HidupanLiar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) hari ini menyelamatkan seekor monyetproboscis atau ‘Orang Belanda’ yang ekornya hampir putus di Taman Negara Bako dekat sini.
Pegawai Hidupan Liar SFC, Christopher Kri Ubang berkata monyet jantan itu dikesan mengalami kecederaan sejak kira-kira seminggu lalu di taman negara yang dibuka pada tahun 1957 dan terletak kira-kira 37 kilometer dari bandar raya Kuching.Katanya, sebaik dimaklumkan tentang kecederaan dialami monyet itu, tiga anggota SWAT SFC dibantu dua kakitangan Pusat Hidupan Liar Matang serta beberapa kakitangan Taman Negara Bako bertindak memantau keadaan monyet itu sejak semalam sebelum menangkapnya pagi tadi.
“Kita dapat laporan menyatakan monyet proboscis ini cedera di bahagian ekor dipercayai akibat pergaduhan kerana terdapat kesan ‘gigitan’.
“Akibat kecederaan itu Orang Belanda ini dilihat mengasingkan diri daripada kumpulanbesar monyet-monyet proboscis lain. Berikutan itu kita jalankan operasi menyelamat dan berjaya menangkapnya kira-kira 10 pagi tadi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Terminal Bot, Taman Negara Bako.
Kri yang mengetuai operasi menyelamat itu berkata monyet itu akan dihantar untuk rawatan di Pusat Hidupan Liar Matang sebelum dilepaskan semula ke Taman Negara Bako sebaik sembuh.
“Kita sering membuat operasi menyelamat khususnya haiwan dilindungi seperti monyet proboscis ini yang merupakan spesies monyet yang jarang ditemui dan hanya terdapat di Borneo,” katanya.
Ditubuhkan pada 2013, SWAT SFC sering mengendalikan operasi penakaian dan pemindahan buaya, menyelamat hidupan liar, menyelesaikan konflik manusia-hidupan liar di kawasan yang dilanda konflik dan membantu Jabatan Hutan Sarawak dalam tugas penguatkuasaan, jika perlu. – BERNAMA