KUCHING: Seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura, ditemui mati dalam bilik penginapannya di sebuah hotel, di sini, semalam.
Mayat mangsa berusia 32 tahun itu ditemui oleh sepupunya dan pekerja hotel itu yang membuat pemeriksaan di bilik berkenaan, pada jam 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek, berkata sepupu lelaki itu yang mengesyaki sesuatu selepas dia gagal menghubungi mangsa, meminta bantuan pihak hotel untuk membuat pemeriksaan di bilik mangsa.
“Ketika pintu bilik dibuka, mangsa didapati terbaring tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak yang datang ke lokasi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Ah Lek berkata, mangsa yang berasal dari Dalat dalam Bahagian Mukah dan disyaki sakit berdasarkan penemuan beberapa jenis ubat di atas meja di bilik berkenaan.
Katanya, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir mangsa masuk ke bilik pada jam 2.45 pagi, Isnin lalu.
“Selepas itu tiada pergerakan keluar dari bilik itu sehingga mayat mangsa ditemui,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – Berita Harian Online