Miri: Seekor ikan yu paus raksasa dijumpai terperangkap di dalam pukat tunda milik seorang nelayan laut di perairan Kuala Baram, di sini awal pagi Isnin.
Bagaimanapun, ikan yu paus atau Rhincodon typus itu hanya berjaya didaratkan sekitar pukul 12 tengah hari oleh pemilik bot dan krewnya setelah berlabuh di sebuah jeti persendirian di kawasan Piasau.
Sebaik didaratkan, nelayan terbabit kemudian menghubungi Jabatan Perikanan Miri dan Sarawak Forestry Corporation untuk memaklumkan tangkapan spesis ikan tersebut yang jarang-jarang ditemui.
Sementara itu menurut jurucakap dari Jabatan Perikanan Miri, ketika ditemui, ikan yu paus yang dianggarkan seberat 1.2 tan itu sudah mati.
“Kita percaya, ini merupakan tangkapan terbesar yang pernah direkodkan di perairan Miri setakat ini,” katanya.
Bangkai ikan paus itu kemudian ditanam oleh pihak berkuasa di satu tempat yang tidak dimaklumkan. Utusan Borneo Online