KUCHING: Parti Amanah Negara (Amanah) melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri lebih awal bagi persiapan untuk menakluk Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti bersama rakan lain dari Pakatan Harapan(PH).
Timbalan Presiden Amanah Datuk Salahuddin Ayub berkata persiapan awal itu penting agar jentera parti dapat diperkemaskan dan dipertingkatkan supaya ada wakil rakyat daripada Amanah di negeri ini kelak.
“Hari ini, Amanah melancarkan jentera pilihan raya bagi peringkat negeri Sarawak sebagai persediaan awal kita untuk memperkemaskan jentera kita selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
“Apabila jentera ini dapat kita perkemaskan dan pertingkatkan, kita dapat memastikan penyertaan kita dalamPRN negeri yang mungkin akan berlaku sama ada dalam masa terdekat atau beberapa tahun lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Negeri Amanah di sini, hari ini.
Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani menegaskan, jika persiapan awal itu dapat dilakukan, ia mudahkan lagi untuk Amanah mengatur strategi dalam mengukuhkan kekuatan di negeri ini.
“Saya juga berharap dengan penubuhan Jentera Pilihan Raya Negeri Amanah pada hari ini PH negeri yang dipimpin Yang Berhormat (Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) Chong Chieng Jen akan dapat membantu memperkukuhkan Amanah dalam PH di sini,” tambahnya.
Beliau memberitahu Amanah yang merupakan antara parti baharu dalam PH amat memerlukan kerjasama dengan rakan-rakan lain dalam pakatan supaya persefahaman yang lebih kukuh dapat diwujudkan.
Menyentuh mengenai kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikhususkan untuk Amanah, Salahuddin menjelaskan, buat masa ini parti itu akan memberi tumpuan kepada 13 DUN.
Kerusi DUN tersebut, Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Gedong, Sebuyau, Beting Maro, Semop, Kuala Rajang, Daro, Jemoreng, Kabong dan Balingan.
“Kita juga telah mengenalpasti calon-calon berpotensi di setiap DUN berkenaan, bila-bila masa kita boleh (bertanding),” tambahnya lagi. – Utusan Borneo Online