KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kritikan yang dilemparkan terhadap beliau selama ini, berhubung dakwaan amalan kroni sebagai pandangan tidak adil serta salah faham.
Perdana Menteri berkata, beliau menyukai individu tertentu bukan disebabkan kerana kroni, sebalik disebabkan mereka dapat melaksanakan sesuatu rancangan sewajarnya.
“Antara perkara yang sering menjadi bahan kritikan adalah dakwaan saya mempunyai dan membantu kroni.
“Kritikan itu tidak adil sebab individu berkenaan mendapat sokongan kerana mempunyai kemampuan mampu melakukan pelbagai perkara.
“Saya cenderung menyokong mereka yang berkemampuan dan menunjukkan beberapa pencapaian,” katanya dalam temubual bersama The Wall Street Journal (WSJ) di New York.
Dr Mahathir berkata, beliau percaya pendekatan yang berorientasikan hasil dalam menjalankan perniagaan itu, sudah disalah tafsir oleh pihak tertentu.
“Kini, apabila mentadbir bersama dengan mereka yang pernah mengkritik, saya ingin menunjukkan kepada mereka bahawa saya bukanlah seperti yang difikirkan,” katanya ketika mengulas mengenai kritikan pembangkang sepanjang tempoh pertamanya menjadi Perdana Menteri bermula 1981 hingga 2003.
Dr Mahathir berkata, dalam tempoh menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ketika ini, beliau tidak akan membuat banyak perubahan penting.
Katanya, ada kritikan yang dibuat terhadap beliau sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri sebelum ini, berbaloi untuk dipertimbangkan sekarang.
“Saya mendapat manfaat daripada semua pengalaman itu, 15 tahun bekerja dengan pembangkang. Saya akan melakukan perkara-perkara yang sedikit berbeza kali ini. Selain itu, banyak dasar dan strategi lama masih relevan untuk hari ini,” katanya.
Sementara itu, awal bulan ini, ketika berucap pada Kongres Masa Depan Negara dan Bumiputera, Dr Mahathir turut menyentuh isu yang sama, selain mempersoalkan kritikan terhadap dasar tindakan afirmatif yang membantu usahawan Bumiputera.
Dr Mahathir menyifatkan, mereka yang dilabel sebagai ‘kroni’ beliau itu sebenarnya adalah golongan yang berjaya.
“Sebenarnya ramai yang mendapat peluang tetapi tidak berjaya namun disebabkan tidak berjaya, mereka tidak dilihat sebagai kroni.
“Dalam setiap 100, mungkin empat atau lima yang berjaya, mereka ini menjadi terkenal dan kemudian dilabel sebagai kroni,” katanya. – Berita Harian Online