KUCHING: Harapan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa untuk melihat Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai kabinet bayangan yang ditubuhkan Barisan Nasional (BN) berkecai.
Ini susulan tindakan GPS tidak akan menyertai kabinet bayangan berkenaan yang memainkan peranan untuk melakukan semak dan imbang setiap kementerian.
Setiausaha Agung GPS Datuk Alexander Nanta Linggi dipetik media tempatan hari ini berkata, 19 Anggota Parlimen GPS sebaliknya akan mewujudkan kabient bayangannya sendiri, dan membayangkan ia bakal diterajui Anggota Parlimen Petrajaya Datuk Seri Fadillah Yusof.
“GPS telah berbincang pada bulan Julai, dan memutuskan untuk mewujudkan kabinet bayangan kami sendiri,” beliau dipetik sebagai berkata.
Jelas Alex yang juga Anggota Parlimen Kapit, Ahli Parlimen GPS akan terus berbahas demi kepentingan rakyat, negeri dan negara, terutama untuk rakyat Sarawak.
BN semalam mengumumkan pembentukan kabinet bayangan menggunakan sistem Jawatankuasa Portfolio (JKP) bagi setiap kementerian di bawah kerajaan PH.
setiap JKP terdiri daripada pengerusi bersama oleh dua ahli Parlimen BN.
“JKP ini berperanan utk memainkan peranan semak dan imbang bagi setiap kementerian. Ia juga sebagai ‘policy watch’ serta menggubal dasar alternatif menyaingi dasar PH,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, ahli Parlimen pembangkang dari blok Gagasan Sabah (GS) dan Gabungan Parti Sarawak dialu-alukan sekiranya mereka berhasrat menyertai JKP ini.
BN Sarawak keluar dari BN Pusat pada Jun lalu, dan seterusnya menubuhkan GPS bagi memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak. –Sarawakvoice