KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak khususnya PKR Santubong tidak gentar dengan cabaran ‘Isytihar Perang Habis Habisan’ daripada pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Santubong, Ahmad Nazib Johari menerusi kenyataan dalam catatan Facebooknya hari ini berkata demikian respons kepada ucapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di sini, pada Rabu.
“Ayam-ayam sabung (jentera) kami sudah biasa menentang helang di angkasa. Kami sudah biasa bertempur di gelanggang-gelanggang becak berserpihan kaca dan kami sudah masak dengan segala muslihat-muslihat pertandingan di gelanggang lawan.
“Soalan saya ….. sudah bersediakah barisan kamu menghadapi itu? Jika dahulu kamu berenang mengikut arus, tetapi kali ini kamu menongkah arus pula.
“Kalian nak tahu bagaimana rasanya? Tentulah sangat letih dan sangat sangat menghampakan. Bila kalah pula… tak tahulah bagaimana pula rasanya jika jatuh dari tempat tinggi,” katanya.
Ahmad Nazib turut menambah bahawa beliau sebenarnya tidak berniat angkuh atau meninggi diri tetapi mahu mengingatkan GPS, jika dahulu PH yang menentang arus, sekarang arus itu memudahkan mereka.
Tegas beliau rakyat tidak perlu percaya dengan sentimen yang diwujudkan bahawa seandainya PH memerintah, Parti Tindakan Demokratik (DAP) akan berkuasa dan hak-hak Bumiputera akan terhakis.
“Janganlah kalian percaya dengan cerita dongeng murahan ini. Mereka berkata seolah-olah Malaysia ini tidak ada ‘Payung Negara’.
“Saya percaya rakan-rakan DAP tidaklah kemaruk sangat untuk berkuasa. Tanpa kuasa pun, mereka boleh maju dan berjaya. Mereka boleh jadi tauke-tauke besar, walaupun tanpa DAP.
“Tidak ada mana-mana satu parti atau kaum pun yang menjadi terlalu dominan kuasanya dalam Malaysia pada hari ini,” ujarnya.
Ahmad Nazib berkata bahkan beliau percaya PH berupaya untuk mengambil alih kerajaan Sarawak serta yakin akan mengubah rentak kemajuan menjadi lebih mampan.
“Jika dahulu kalian boleh beri kepada mereka (GPS) lebih 50 tahun, kalian tidak akan rugi jika mencuba kami untuk 5 tahun ini. Kesilapan mereka tidak akan kami ulangi. Demi rakyat, mulut kami tidak akan dikunci, hanya kerana sayangkan kerusi,” jelasnya lagi.-Utusan Borneo Online