KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini dilantik sebagai Naib Presiden PKR dalam barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baharu bagi sesi 2018-2021
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju sebagai Naib Presiden yang masing-masing mewakili Sabah dan Sarawak.
ADVERTISING
Pelantikan itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan di Facebook (FB) rasmi PKR malam ini.
Menurut Anwar, MPP PKR yang bermesyuarat hari ini antara lain turut membincangkan pelantikan jawatan MPP selepas pemilihan MPP dan pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
“Pelantikan ini melambangkan gandingan pimpinan dari seluruh pelusuk negara yang pelbagai kaum, merangkumi tua dan muda, lelaki dan wanita yang merupakan kekuatan KEADILAN.
“Diharapkan mereka dapat memikul amanah besar untuk menunaikan harapan rakyat dalam era Malaysia Baharu ini,” katanya dalam kenyataan itu malam ini.
Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebanyak 24 jawatan lantikan dalam PKR akan diputuskan selepas Anwar selesai mengadakan sesi libat urus dengan pemimpin peringkat negeri dan cabang.
Berdasarkan perlembagaan parti, presiden diberi kuasa melantik lima anggota MPP, dua naib presiden, seorang setiausaha agung, seorang ketua penerangan, seorang bendahari dan 14 pengerusi negeri.
PELANTIKAN MPP PKR 2018-2021
Naib Presiden (Lantikan): Rafizi Ramli
Naib Presiden (Lantikan): Chang Lih Kang
Naib Presiden (Lantikan) (Sabah/Sarawak): Ali Biju
Setiausaha Agung: Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
Bendahari Agung: Lee Chean Chung
Ketua Penerangan: Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
Setiausaha Pengelola:Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli MPP (Lantikan): Lee Khai Loon
Ahli MPP (Lantikan): Faisal Sanusi
Ahli MPP (Lantikan):Syed Ibrahim Syed Noh
Ahli MPP (Lantikan): Rayyan Abdul Rahim
Ahli MPP (Lantikan): Raymond Ahuar
Ahli MPP (Lantikan): Kesavan Subramaniam
Pengarah Strategi: Datuk Mansor Othman
Pengarah Komunikasi:Fahmi Fadzil
Timbalan Setiausaha Agung: Datuk Dr R Santhara Kumar
Timbalan Ketua Penerangan: Sim Tze Tzin
Timbalan Ketua Penerangan: Manivanan Gowin
-Berita Harian Online