LABUAN: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (gambar fail) berkata tidak jelas sama ada pembangkang yang terdiri daripada UMNO, PAS dan Gabungan PartiSarawak (GPS) akan menyokong cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan semula status Sabah serta Sarawak sebagai rakan sekutu dalam persekutuan.
Beliau berkata bukanlah proses yang mudah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga dalam Parlimen oleh sebab parti pembangkang perlu menyatakan pendirian mereka dalam isu berkenaan.
Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa oleh Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman daripada UMNO yang mengisytiharkan sokongannya supaya dikembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam persekutuan,Nurul Izzah berkata ia adalah tanda yang baik.
(Anifah hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO.)“Namun begitu, masa akan menentukan kerana perbincangan dilakukan di sebalik tabir dan bukannya di hadapan media.
“Keadilan (PKR) sentiasa berada di barisan hadapan dalam mengemukakan tuntutan dan bukan hanya bagi keadilan (royalti) petroleum, dan (presiden PKR yang baru dipilih) Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang pertama yang meminta supaya Hari Malaysia diraikan untuk memberi kepentingan serta hormatyang saksama,” katanya kepada Bernama.
Nurul Izzah berkata beliau sentiasa berpendapat bahawa Sabah dan Sarawak bukan sekadar rakan sekutu Semenanjung. disebabkan hakikat bahawa kedua-dua negeri itu menyertai pembentukan Malaysia merupakan bukti untuk menyatupadukan semangat dalam kalangan ketiga-tiga entiti ini.
“Ke arah itu, apa juga yang kami boleh lakukan untuk membantu, ia bukanlah suatu proses yang mudah. Saya fikir, kita boleh beri keutamaan kepada perkara yang penting… bagaimana mereka merasakan bahawa bantuan yang dihulurkan penuh bermakna.
Mengembalikan semula ke tempat yang sepatutnya adalah satu perkara, tetapi turut penting adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa kehidupan mereka telah berubah,” katanya.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada Isnin di Sabah bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Persekutuan.
Beliau berkata tugas PH untuk membuat pindaan itu akan mengambil masa keranagabungan itu masih berusaha untuk mencapai majoriti dua pertiga.
Gabungan itu kini mempunyai 125 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, dan sokongan 148 Anggota Parlimen diperlukan untuk mendapat majoriti dua pertiga.
“Kami perlu memikirkan bagaimana kamiboleh mencapai majoriti dua pertiga. Bagaimanapun, buat sementara waktu, kami akan meneliti apa yang perlu dimansuhkan dan digantikan dengan peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pengerusi PH itu berkata demikian kepada pemberita sehari selepas beliau mengumumkan (semasa sambutan Hari Malaysia) bahawa status rakan sekutu kedua-dua negeri itu akan dikembalikan sejajar dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).– Bernama