KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak menyifatkan sentimen ‘perang’ yang dinyatakan dalam media sosial oleh segelintir parti politik adalah hanya merugikan rakyat.
Setiausaha interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian berkata bagi Bersatu Sarawak, pihaknya tidak mahu ‘berperang’ kerana ia tidak baik di penghujungnya.
“Siapa yang rugi adalah rakyat..rakyat melihat kita seperti ‘gila kuasa’ dan itu satu persepsi yang tidak sihat. Kita harus sentiasa utamakan sentimen mesra rakyat.
“Berperang tidak melambangkan politik matang, kita harus melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12, ini satu peluang untuk memenangi suara rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.
Jaziri berkata, beliau amat kagum dengan arwah, mantan ketua menteri, Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan).
Katanya, walaupun berlainan parti dan idealogi politik tetapi Tok Nan masih sering kelihatan berdampingan dengan parti serta rakan politik pembangkang.
“Alangkah itu lagi baik daripada menyeru untuk ‘berperang’? Prinsip Tok Nan itu, saya amat sanjung tinggi.
“Jadikan PRN12 permainan lelali budiman (gentleman’s game). Semoga pasukan terbaik akan menang,” kata Jaziri.
Beliau berkata apa yang penting buktikan kepada rakyat bahawa parti amat mengutamakan mereka dan bukan mengutamakan kedudukan politik sendiri.
Bersatu Sarawak ujarnya, mendokong perjuangan yang lebih baik daripada politik ‘berperang habis habisan’.
“Bersatu menegakkan perpaduan, keamanan serta masyarakat pelbagai kaum yang progresif dan tidak mahu menimbulkan perpecahan atau kebencian di kalangan satu sama lain selari dengan konsep kemakmuran bersama yang kami dokong.
“Sebagai warga negara bertanggungjawab dan ahli politik matang, kami perlu berhati-hati dalam kata-kata kami terutamanya dalam media sosial,” katanya.
Sementara itu Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berperang habis-habisan jika Pakatan Harapan (PH) melancarkan serangan menawan Sarawak pada PRN akan datang.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata GPS tidak akan duduk diam sebaliknya menyiapkan segala logistik diperlukan.
“Kalau orang hendak berperang, kita perang benar-benar apabila berperang kita mesti menjaga logistik, perlu mahu betul, tembak kena tepat,” katanya pada majlis Angkat Sumpah dan Seminar Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, pada Rabu. – Utusan Borneo Online