Status Sabah, Sarawak sebagai rakan sekutu akan dikembalikan-Tun Mahathir 0 7980

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi slogan ‘Malaysia Baharu’ akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil maklum mengenai penukaran status Sabah dan Sarawak dari rakan sekutu kepada negeri-negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalian status itu adalah sebahagian proses yang akan dilaksanakan selepas kajian Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disiapkan.

Beliau menegaskan, pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA 63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

“Pastinya keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih ada daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif.

Kajian MA 63 pastinya akan menimbulkan keperluan penilaian semula beberapa amalan yang sudah terlaksana sebelum ini.

“Harapan kita, apa saja penilaian semula dilakukan terhadap amalan ini perlulah dilakukan dalam semangat setiakawan, saling menghormati dan sikap tolak ansur yang tinggi.

“Tanpa semangat dan sikap ini, kesatuan kita sebagai satu negara dan satu bangsa akan terhakis dan keindahan yang kita kecapi bersama selama ini akan hilang di masa akan datang,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Ke-55 di Padang Merdeka di sini malam ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2018.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Dr Mahathir pernah berkata, PH akan mengkaji semula MA63 bagi memberi Sabah dan Sarawak lebih kuasa untuk memastikan pembangunan lebih besar kerana apabila membentuk Malaysia, kedua-dua wilayah itu tidak dianggap sebagai rakan kongsi, sebaliknya negeri sama seperti di Semenanjung.

Berdasarkan MA63, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura adalah wilayah untuk membentuk Malaysia serta mempunyai sama taraf kedudukannya. Singapura bagaimanapun keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Persekutuan tidak akan melupakan tanggungjawabnya kepada Sabah serta Sarawak dan akan mencari jalan untuk memajukan infrastruktur yang akan dilaksanakan mengikut kehendak dan keperluan rakyat kedua-dua negeri.

Pada masa sama, beliau yakin hubungan antara rakyat yang terjalin begitu lama pasti memberi kesedaran perlunya semangat ‘reciprocity’ atau timbal balik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Atas semangat ini, pemimpin dan rakyat Sabah dan Sarawak pasti sedar ada antara negeri di Semenanjung juga masih serba kekurangan dan memerlukan bantuan berterusan dari kerajaan. Saya yakin rakyat Sabah dan Sarawak berasa senang dan diterima di Semenanjung kerana kehadiran mereka di sana tiada sebarang sekatan atau ‘encumberances’.

“Ini saya percaya sudah mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia. Keakraban yang terbina inilah yang membantu Malaysia kekal walaupun ada ketikanya timbul perbezaan pendapat antara pemimpin dari ketiga-tiga wilayah ini.

“Banyak yang sudah kita lalui bersama dalam negara yang kita panggil Malaysia. Benar, perjalanannya tidaklah sentiasa lancar dan tersusun. Ada kala kita tergelincir dan hilang arah. Yang penting, keupayaan kita ‘to pick ourselves up’ atau bangun dan kembali ke landasan betul,” katanya.

Beliau berkata, PRU-14 membuktikan keupayaan untuk bangun selepas terpesong dari landasan yang dibina bertahun-tahun lalu.

“Walaupun kita terpesong amat jauh beberapa tahun kebelakangan ini dan kerosakan akibatnya amat besar dan susah untuk dibaiki, kita tiada pilihan melainkan terus berusaha memulih keadaan.

“Mahu tidak mahu kita perlu membetulkan kerosakan itu kerana jika kita mengalah dan membiarkan ia berterusan, nilai kita sebagai sebuah negara bebas dan berdaulat akan hilang. Ini bermakna kita membenarkan mereka yang mengkhianati negara kita menang. Ini tidak boleh kita benarkan,” katanya.

Dr Mahathir mengakui walaupun negara sudah menyambut Hari Malaysia berulang kali, kali ini agak berbeza kerana buat pertama kalinya disambut dengan kerajaan Persekutuan dipimpin gabungan parti politik berlainan.

-Berita Harian Online-

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 15390

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news