Selepas lebih setahun BN kecundang dalam pilihan raya umum lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi malam tadi menyatakan keyakinannya bahawa rakyat akan secara sukarela menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tanpa pembangkang bersusah-payah menjatuhkannya.
Dalam satu majlis ceramah di Balik Pulau, Pulau Pinang, Ahmad Zahid berkata penolakan secara total itu tidak terhad daripada Melayu saja malah kaum lain termasuk Cina, India dan Kadazan.
Katanya, ini kerana mereka kecewa dengan pentadbiran kerajaan baru.
“Tunggu hingga rakyat menolak mereka (kerajaan PH).
“Kita (Umno dan PAS) tidak akan membalas dendam, tetapi kita akan tunggu. Kita tahu ia akan berlaku sendiri tanpa kita memaksakannya,” katanya lapor portal Free Malaysia Today.
Mengulas mengenai kerjasama Umno dan PAS dalam menjamin perpaduan Melayu dan Islam, Ahmad Zahid memberi contoh penyembelihan korban sewaktu Hari Raya Aidil Adha, yang melihatkan bahawa ibadah tersebut tidak cukup kuat jika diilakukan oleh seorang.
“Beberapa orang diperlukan untuk memegang kaki belakang dan depan, kepala dan badan.
“Dalam perjuangan ini adalah satu perjuangan pengorbanan. Jangan biarkan hanya presiden Umno dan PAS sahaja untuk melakarkan penyatuan ummah.
“Kita ada peranan masing-masing demi ummah dan negara seluruhnya,” katanya yang hampir dua bulan kembali bertugas sebagai presiden Umno.
Beliau turut mengkritik konsep yang diperjuangkan DAP “Malaysian Malaysia” yang disifatkan sebagai menghakis hak dan keistimewaan orang Melayu dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, bagi mencapai perpaduan tersebut, kedua-dua parti pembangkang tersebut tidak akan bersengkokol dengan DAP. – Malaysiakini