KUCHING: Tindakan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang merekrut ahli dari komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) ternyata niat jelas untuk merosakkan kestabilan serta keutuhan dikalangan komponen GPS.
Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miro Simuh menjelaskan, walaupun kini PSB bukan komponen dalam GPS, namun mereka masih memegang portfolio dalam kabinet dibawah kerajaan GPS.
“PSB bukan satu komponen GPS tetapi mereka (Wong dan Dr Jerip) masih menerima (kemasukan) ahli parlimen GPS dan dua bekas pemimpin Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang kita anggap sebagai tindakan mengejek dan menentang GPS.
“Jika dilihat dari soal disiplin, kita tidak boleh menyangkal hakikatnya terdapat ahli bukan GPS berada dalam kabinet menikmati semua kemudahan dan sumber dalam kerajaan GPS.
“Namun pada masa sama mereka ini merekrut ahli GPS dengan niat jelas untuk mengalihkan pandangan yang boleh memberi kesan kepada kestabilan serta perpaduan dikalangan parti komponennya,” katanya pada sidang media mengenai kenyataan bersama exco Pemuda GPS yang dihadiri Ketua Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Michael Tiang serta wakil lain di ibu pejabat PBB di sini, hari ini.
Miro berkata, prinsip teras GPS adalah berasaskan perpaduan dan kerjasama dikalangan parti komponennya dan GPS berusaha untuk menyatukan rakyat Sarawak untuk memperjuangkan masa depan lebih baik kepada Sarawak.
“Padangan kami mengenai parti baharu itu ia tidak selari dengan prinsip teras GPS itu dan kami mendapati ia sesuatu yang pelik apabila ada ahli yang menentang prinsip GPS tetapi menjadi ahli eksekutif kerajaan negeri.
“Kami percata bahawa Yang Amat Berhormat Ketua Menteri akan menyelesaikan masalah ini dengan kebijaksanaannya demi kebaikan Sarawak dan kami Pemuda GPS menyokong sepenuhnya pandangan ketua menteri mengenai perkara ini,” katanya. – Utusan Borneo Online