KULIM: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula hari inisecara keseluruhannya berjalan lancar, kecuali berkaitan aduan harga makanan di restoran-restoran di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata bagaimanapun aduan berkenaan telah ditangani dengan baik oleh pegawai kementerian berkenaan dan beliau sendiri.
“Adalah dijelaskan restoran-restoran berkenaan boleh mengenakan SST dan hasil siasatan kita berdasarkan resit, harga yang dikeluarkan adalah betul dan bukan kedai itu sengaja menaikkan harga seperti dakwaan.
“Saya telah mengarahkan Majlis Harga Barang Negara bersama lebih 1,000 pemantau harga agar memberikan tumpuan di kedai-kedai makanan untuk memastikan tidak ada pengusaha perniagaan yang membuat penipuan dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Penguatkuasaan Pencatutan di Bawah Operasi Catut 5.0 disini, hari ini.
Sebelum itu Saifuddin bersama pegawainya membuat lawatan di sebuah syarikat penyelenggaraan kenderaan jenama Toyota di sini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Datuk Mohd Roslan Mahayuddin, Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah dan PengarahKPDNHEP Kedah Mohamed Fitri Hassan.Saifuddin berkata mulai hari ini pihaknya akan melaksanakan Operasi Catut 5.0 di seluruh negara yang merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan Operasi Catut 4.0 yang mula digerakkan pada 1 Jun lalu.
“Tindakan ini kita jalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di semua rantaian perniagaan di seluruh negara dengan memberikan tumpuan kepada tindakan ketidakpatuhan ke atas undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian,” katanya.
Antaranya perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) AktaKawalan Harga dan Anti pencatutan 2011,adalah penandaan harga, petunjuk atau gambaran mengelirukan mengenai harga serta pengeluaran resit atau invois belian.
Selain itu, mulai hari ini kementerian itu membuka Bilik Gerakan dan beroperasi sehingga jam 10 malam bermula pukul 7 pagi yang bertujuan memudahkan pengguna membuat aduan dan pertanyaan melalui talian bebas tol 1-800-886-800.
Kementerian turut menyediakan pelbagaisaluran aduan yang lain iaitu di portal rasmi KPDNKK, emelhttp://eaduan.kpdnkk.gov.my, SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN, aplikasi telefon pintar EzAdu KPDNKK serta di media sosial Twitter dan Facebook KPDNKK.
“Bagaimanapun aduan itu mestilah jelas seperti butiran nama, alamat tempat yangdiadu, butiran barangan dan harga serta resit pembelian untuk memudahkan kita membuat siasatan,” katanya.
Beliau menjelaskan peranan KPDNHEP dalam pelaksanaan SST ini bertujuan menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga dengan memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutamanya yang melibatkan stok-stok sedia ada semasa GST 0 peratus.
Sementara itu, beliau berkata kementerian akan memperkenalkan rang undang-undang mengawal harga caj perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan tidak lama lagi agar servis penyelenggaraan tidak dimanipulasi sehingga ia membebankan pengguna.– Bernama