KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata seperti rakyat Sarawak yang lain, beliau menyokong gagasan mengembalikan status Sarawak melalui pindaan Perlembagaan atau memansuhkan undang-undang berkaitan.
Memetik laporan Borneo Post hari ini, mantan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu menyatakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa komited mengembalikan status hak Sarawak dan Sabah berbanding beretorik berhubung isu itu.
Wan Junaidi mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad yang menyebut kerajaan PH memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan jika mahu memastikan hak Sabah dan Sarawak dipulihkan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Memetik laporan akhbar tempatan itu, Wan Junaidi berkata persoalan majoriti dua pertiga di Parlimen dapat diurus melalui perundingan dan perbincangan dengan pelbagai kumpulan Ahli Parlimen.
Beliau percayai majoriti setuju Sarawak dan Sabah berhak mendapatkan semula haknya yang terhakis 55 tahun lalu.
Wan Junaidi dipetik berkata selama ini kerajaan Persekutuan membuat keputusan berdasarkan “keperluannya sendiri”, tanpa mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
Menurut Wan Junaidi lagi terdapat banyak dasar dan undang-undang dibuat kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak selari syarat MA63 dan Perlembagaan.
Beliau memberi contoh bagaimana Akta Pelantar Benua 1966 mengurangkan sempadan wilayah Sarawak yang tidak pernah mendapat persetujuan rasmi negeri ini mengikut Perlembagaan.
Laporan akhar tersebut turut menyebut kenyataan Wan Junaidi bahawa satu lagi contoh penting ialah pindaan yang telah menurunkan status Sarawak dan Sabah sebagai salah satu negeri di Malaysia dan bukan sebagai komponen seperti dipersetujui dalam pembentukan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. –Sarawakvoice