Len Talif (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abang Johari, sambil di saksikan oleh Abdullah (kiri), Awang Tengah (dua kanan) dan Yusuf (kanan).
BELAWAI: Walaupun menerima ancaman daripada pihak tertentu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa beliau akan terus mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kenyataan berbaur ugutan yang ditulis oleh seorang pengguna laman sosial Facebook semalam, yang mengancam untuk membunuhnya.
“Semalam, di dalam FB ada seseorang mahu membunuh saya …beliau kata, bunuhkan Ketua Menteri barulah kita aman. Rupanya saya yang menimbulkan hal (kekacauan) selama ini.
“Insya-Allah, saya akan terus mempertahankan hak-hak orang Sarawak walaupun ada ancaman terhadap saya.
Kerana hidup kita ditentukan oleh Allah S.W.T…sebelum malaikat maut mengambil nyawa saya, saya bersama rakan-rakan yang lain akan terus berjuang untuk Sarawak,” katanya pada majlis Perasmian Pesta Belawai 2018 serta Perasmian Taman Pantai Belawai dan Penanaman Tukun Tiruan ‘Reef Ball’ di Perairan Pantai Belawai-Paloh di Kampung Belawai di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab.
Abang Johari pada masa sama berkata Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sentiasa berhasrat menumpukan usaha untuk membangunkan kawasan luar bandar, kerana kekuatan parti itu adalah kawasan luar bandar.
Beliau menegaskan dari sudut sejarah, yang dapat mmebangunkan Sarawak adalah rakyat negeri itu sendiri dan bukannya pihak luar dari Sarawak.
“Bermakna, kalau kita nak membangunkan negeri kita, hanya pimpinan yang lahir dari Sarawak yang dapat membantu orang Sarawak.
“Saya tahu, masalah kita di sini adalah bekalan air. Maka kita dalam kerajaan negeri tidak dapat menunggu orang Melaya (Kerajaan Persekutuan)…kini kita membuat satu pembangunan bekalan air yang menyeluruh dengan peruntukkan RM2.8 bilion untuk rakyat luar bandar.
“Mahu atau tidak, kita terpaksa menggunakan dana kita sendiri. Jadi sebab itu dalam masa dua tahun ini kita mahu mempercepatkan bekalan air dan saya minta Awang Tengah untuk membantu Dr Rundi (Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom),” katanya – Utusan Borneo Online