KOTA KINABALU: Tumpuan rakyat tentunya bukan saja kepada sambutan Hari Malaysia Ke-55 di sini, malam ini tetapi juga amanat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini kerana kali terakhir Dr Mahathir berkunjung ke Sabah sebagai Perdana Menteri ialah pada 8 September 2003 ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang.
Selepas 15 tahun berlalu, Dr Mahathir sekali lagi diangkat sebagai Perdana Menteri dan pastinya rakyat Sabah ternanti-nanti amanat beliau, khususnya berkaitan hak serta kepentingan Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, sambutan Hari Malaysia kali ini bukan saja signifikan kerana berlangsung di Padang Merdeka yang menjadi lokasi bersejarah pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963, tetapi juga kali pertama di bawah kerajaan baharu di peringkat negeri dan Persekutuan.
Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 12.30 tengah hari sebelum majlis makan tengah hari bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Acara kemuncak sambutan Hari Malaysia malam ini dijadual dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg; serta anggota Kabinet negeri dan Persekutuan.
Lebih 800 murid dan pelajar sekolah sekitar daerah ini bakal membuat penampilan melalui tarian khas memaparkan tradisi masyarakat berbilang kaum di Sabah yang disusun Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).
Pengisian lain yang dirancang termasuk acara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia 2018 sebagai simbolik kepada penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan sambutan yang bermula pada jam 7 malam dan dijangka selesai pada 12 tengah malam.
Sambutan itu akan diakhiri dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku’ sebelum tamat pada jam 10.30 malam. – Berita Harian Online