Mengimbau Pembentukan Malaysia 0 6253

KOTA KINABALU: Tarikh 16 September 1963 adalah detik bersejarah yang menyaksikan penyatuan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia.

Segala-galanya bermula melalui cadangan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra, pada 27 Mei 1961, disusuli Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu di Singapura pada 23 Julai yang memutuskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dipengerusikan Tun Mohammad Fuad Stephens.

Ia berperanan menjelaskan konsep Malaysia kepada rakyat termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei. Siri mesyuarat berlangsung mulai Ogos 1961 hingga Februari 1962 di Sabah, Sarawak dan Singapura.

Hasilnya, pada 17 Januari 1962 Suruhanjaya Cobbold dibentuk dan dipengerusikan Lord Cobbold. Keahliannya ialah Wong Pow Nee, Mohd Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston menjadi wakil kerajaan British.

Suruhanjaya itu meninjau pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia. Dari Februari hingga April 1962, Suruhanjaya Cobbold menemui lebih 4,000 orang dan menerima 2,200 memorandum pelbagai pihak.

Hasilnya, 80 peratus rakyat Sarawak dan Borneo Utara menyokong penubuhan Malaysia dan menerima pakai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, menerima Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Suruhanjaya Cobbold juga mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK), Persekutuan Tanah Melayu ditukar kepada Persekutuan Malaysia, kuasa autonomi dan jaminan khas dalam beberapa perkara diberi kepada Sabah dan Sarawak serta kedudukan istimewa kaum peribumi Sabah dan Sarawak.

Rakyat Sabah dan Sarawak juga mengkaji beberapa tuntutan yang munasabah untuk menjaga kepentingan mereka sebagai Bumiputera sebelum menyertai Malaysia. Tuntutan ini dikenali 20 Perkara Sabah dan syarat Borneo Utara menyertai Malaysia.

Pembentukan Malaysia berdepan pelbagai cabaran dengan penentangan dimulakan pada 1962 oleh A M Azhari, pemimpin Parti Rakyat Brunei dan perisytiharan konfrontasi oleh Indonesia melalui Presiden Sukarno.

Di Manila, ada tuntutan ke atas Sabah dikembalikan kepada Filipina dengan alasan wilayah itu milik keturunan Sultan Sulu yang memeterai perjanjian dengan Kerajaan British pada 1878.

Pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya Cobbold disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan Tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman membentuk jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu. Beliau mempengerusikan jawatankuasa yang dianggotai Tun Abdul Razak, Tan Siew Sin, Datuk Dr Ismail Abdul Rahman dan Datuk V T Sambanthan.

Pada 9 Julai 1963, perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.

Perjanjian ditandatangani wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan persetujuan dicapai untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963.

Tentangan berterusan Filipina dan Indonesia, memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menghantar misi ke Borneo pada 1963 bagi menjelaskan pandangan majoriti rakyat yang menyokong penubuhan Malaysia.

Upacara perisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963, dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Perisytiharan penubuhan Malaysia dibacakan Tunku Abdul Rahman di hadapan lebih 30,000 rakyat yang turut meraikan hari bersejarah itu.

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN 0 5433

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN

SIBU: Pandemik COVID-19 tidak akan menghalang Sarawak daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 mengikut undang-undang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing hari ini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa negeri ini akan menerima nasib yang sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes COVID-19 selepas mengadakan pilihan raya negeri pada 26 September lalu, beliau berkata pilihan raya itu masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.

“COVID-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini. Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.

“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A: Pembinaan dan Penyiapan Cadangan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Bawang Assan hari ini.

“Kita tiada pilihan, jika kita tidak buat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan,” katanya dan menambah beliau tidak tahu apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.

Beliau mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.

“Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya.

Mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding di Bawang Assan pada pilihan raya negeri nanti, Masing berkata ia bergantung kepada calon yang ditentukan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan disokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.

Masing berkata siapa pun calon, pengundi harus memberi sokongan penuh terhadap perubahan yang akan dilakukan di kawasan itu selepas mereka dipinggirkan begitu lama dari segi pembangunan infrastruktur.

Untuk GPS, kerusi Bawang Assan secara tradisionalnya diperuntukkan kepada SUPP dan penyandangnya kini adalah Presiden Parti Sarawak Bersatu, Datuk Seri Wong Soon Koh yang dilaporkan akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Wong yang memenangi kerusi itu apabila bertanding buat pertama kali sebagai calon SUPP pada pilihan raya negeri 1996, tidak pernah kalah dan menang sekali lagi pada 2016 walaupun beliau meninggalkan SUPP kerana masalah dalaman dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP), sebuah parti mesra Barisan Nasional.

Sementara itu, mengenai projek jalan raya 21.7 kilometer (km) bernilai lebih RM104.5 juta, Masing berkata apabila siap pada November tahun hadapan, ia akan menghubungkan Kampung Tutus, Kampung Sebedil dan Kampung Bungan Kecil ke bandar Sibu.

Beliau berkata Pakej B projek itu akan membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 16 km dengan kos RM200 juta menghubungkan kawasan berkenaan dengan Jambatan Igan sejauh 1.38 km yang sedang dibina di Igan, Mukah bernilai RM285 juta. – BERNAMA – Berita Harian

Spread the news

Beri peluang PM selesai krisis pandemik 0 5407

Beri peluang PM selesai krisis pandemik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberi masa untuk menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 yang ketika ini melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata selain krisis pandemik, negara ketika ini turut diuji dengan isu ekonomi, sekali gus menuntut semua pihak mengenepikan masalah kecil dan kembali kepada penyatuan serta perpaduan, selain muafakat dan kerjasama.

“Tak payahlah kita fikir pengganti buat masa ini…kita muafakat, bantu kerajaan. Bila COVID-19 reda, segera bubar Parlimen dan serah (mandat) pada rakyat.

“USA (Amerika Syarikat) lagi banyak kes COVID-19 dan mereka pun ada pilihan raya. Beri peluang PM (Perdana Menteri) selamatkan negara dan nyawa rakyat dulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang layak untuk menggantikan Muhyiddin.

Menerusi satu lagi ciapan, Annuar menegur kenyataan dibuat Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menentang semangat setiakawan.

“Adalah baik sekiranya kita semua mengurangkan selar-menyelar secara terbuka kerana ia tak banyak membantu. Mari kita harmonikan situasi dan pandang ke hadapan. Sesiapa yang lebih ramai kawan akan menang ke atas mereka yang mencipta permusuhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program Operasi Sanitasi Awam, di Presint 4, di sini, hari ini, Annuar mengulangi kenyataan sama dengan menuntut semua pihak mengutamakan kerjasama dan penyatuan..

“Kepada parti politik termasuk parti saya sendiri dan kawan-kawan serta saya sendiri, saya fikir kita kena utamakan kerjasama dan penyatuan.

“Kalau kita dah stabil (krisis COVID-19) seperti itu dan kalau nampak keadaan (politik) masih tidak stabil kerana masing-masing pihak ada majoriti tipis, kita adakah pilihan raya umum.

“Kita bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin adakan pilihan raya secara maya. Apabila berlaku ketidakstabilan akan ada pihak merasakan mereka boleh menjadi perdana menteri,” katanya. – Berita Harian

Spread the news