Anwar minta maaf beberapa janji manifesto ditangguhkan 0 6445

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) terpaksa ditangguhkan buat masa ini sehingga kewangan negara kembali kukuh.

Katanya semasa manifesto berkenaan dibuat, HARAPAN tidak menjangkakan hutang negara mencecah sehingga RM1 trilion.

“Sekarang ini bila lihat, kenyataan dia berbeza, oleh demikian itu saya minta maaf kerana ada manifesto yang kita boleh lakukan dan ada yang lain kita kena tangguhkan,” katanya pada sesi soal jawab program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club, di Kuala Lumpur, hari ini.

Antara lain, katanya faktor hutang ini disumbangkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai hutang berpuluh bilion ringgit, berbanding jangkaan awal di bawah RM3 bilion.

“Kita baru fikir bawah RM3 bilion, kita tak terfikir ada beli kapal, beli painting dan ada duit beri kepada (pelakon Hollywood) Leonardo DiCaprio. Besar masalah dia, jadi Tun Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) kata berilah masa.

“Apa yang kami ada kami akan tawarkan… terdapat masalah, bolehkah anda dapatkan semula semua dana itu? Kapal terbang beli baru (contoh) RM250 million, kalau yang terpakai, nilai (sebenarnya) tak boleh dapat balik, kapal laut lagi teruk, nilai bagi yang terpakai sangat rendah, jadi kita dah rugi banyak,” katanya.

Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa beliau memberi sokongan 100 peratus kepada pentadbiran kerajaan di bawah Dr Mahathir dan menyeru rakyat untuk memberi peluang kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu untuk memerintah negara.

“Sekarang Tun Dr Mahathir baru jadi perdana menteri selama empat bulan, bagi peluang dia perintah dengan baik, kita sokong dia. Ruang sekarang ini adalah untuk beri sokongan padu, saya nak kerajaan PH kuat, dihormati dan boleh laksanakan perubahan. Sekarang giliran Tun Dr Mahathir, kita sokong, saya beri dia sokongan 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada hadirin yang mahu mengetahui wawasannya sebagai bakal perdana menteri kelapan negara.

Mengulas mengenai dasar kerajaan terhadap negeri-negeri pembangkang, katanya dasar kerajaan PH adalah tidak meminggirkan mana-mana daerah dalam negara.

“ Kita hormati hak mereka, dari segi perlembagaan tanggungjawab kerajaan adalah untuk membantu rakyat tanpa kira fahaman politik dan agama. Mudah-mudahan dengan pelaksanaan (dasar) esok, terbuka hati Kelantan (antara lain) dan rujuk kita,” katanya.

Berhubung Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (SOSMA) 2012, Anwar berkata PH berjanji akan menghapuskan undang-undang ‘draconian’ atau undang-undang yang menindas.

“Saya alami derita (semasa dipenjarakan), untuk menyedarkan dan menginsafkan diri saya supaya dapat rasai derita orang lain, sebab itu bila saya diseksa, saya lihat SOSMA, saya tak setuju bentuk undang-undang yang ada sekarang. Kedua saya tak setuju pendakwaan dan hukuman terlalu keras pada kesalahan kecil yang tak setimpal,” katanya.

Anwar berkata beliau secara peribadi memaafkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam hal yang melibatkan mereka berdua tetapi dalam hal wang negara dan kepentingan rakyat, ia tertakluk kepada proses yang ada.

“ Dari segi peribadi saya maafkan dia walaupun dia sumbat saya masuk penjara… dua minggu pertama saya tidur atas simen. Tapi soal wang negara, soal hak rakyat tak mungkin saya (dapat) maafkan. Kena ikut proses lah, kalau terbukti dia bersalah nasiblah, apa juga yang anda ambil daripada orang awam, anda bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan buku “A People’s History of Malaysia’ karya bekas pensyarah Universiti Malaya dan bekas Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali yang kini memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR.

– Bernama

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN 0 5435

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN

SIBU: Pandemik COVID-19 tidak akan menghalang Sarawak daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 mengikut undang-undang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing hari ini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa negeri ini akan menerima nasib yang sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes COVID-19 selepas mengadakan pilihan raya negeri pada 26 September lalu, beliau berkata pilihan raya itu masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.

“COVID-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini. Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.

“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A: Pembinaan dan Penyiapan Cadangan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Bawang Assan hari ini.

“Kita tiada pilihan, jika kita tidak buat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan,” katanya dan menambah beliau tidak tahu apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.

Beliau mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.

“Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya.

Mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding di Bawang Assan pada pilihan raya negeri nanti, Masing berkata ia bergantung kepada calon yang ditentukan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan disokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.

Masing berkata siapa pun calon, pengundi harus memberi sokongan penuh terhadap perubahan yang akan dilakukan di kawasan itu selepas mereka dipinggirkan begitu lama dari segi pembangunan infrastruktur.

Untuk GPS, kerusi Bawang Assan secara tradisionalnya diperuntukkan kepada SUPP dan penyandangnya kini adalah Presiden Parti Sarawak Bersatu, Datuk Seri Wong Soon Koh yang dilaporkan akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Wong yang memenangi kerusi itu apabila bertanding buat pertama kali sebagai calon SUPP pada pilihan raya negeri 1996, tidak pernah kalah dan menang sekali lagi pada 2016 walaupun beliau meninggalkan SUPP kerana masalah dalaman dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP), sebuah parti mesra Barisan Nasional.

Sementara itu, mengenai projek jalan raya 21.7 kilometer (km) bernilai lebih RM104.5 juta, Masing berkata apabila siap pada November tahun hadapan, ia akan menghubungkan Kampung Tutus, Kampung Sebedil dan Kampung Bungan Kecil ke bandar Sibu.

Beliau berkata Pakej B projek itu akan membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 16 km dengan kos RM200 juta menghubungkan kawasan berkenaan dengan Jambatan Igan sejauh 1.38 km yang sedang dibina di Igan, Mukah bernilai RM285 juta. – BERNAMA – Berita Harian

Spread the news

Beri peluang PM selesai krisis pandemik 0 5411

Beri peluang PM selesai krisis pandemik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberi masa untuk menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 yang ketika ini melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata selain krisis pandemik, negara ketika ini turut diuji dengan isu ekonomi, sekali gus menuntut semua pihak mengenepikan masalah kecil dan kembali kepada penyatuan serta perpaduan, selain muafakat dan kerjasama.

“Tak payahlah kita fikir pengganti buat masa ini…kita muafakat, bantu kerajaan. Bila COVID-19 reda, segera bubar Parlimen dan serah (mandat) pada rakyat.

“USA (Amerika Syarikat) lagi banyak kes COVID-19 dan mereka pun ada pilihan raya. Beri peluang PM (Perdana Menteri) selamatkan negara dan nyawa rakyat dulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang layak untuk menggantikan Muhyiddin.

Menerusi satu lagi ciapan, Annuar menegur kenyataan dibuat Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menentang semangat setiakawan.

“Adalah baik sekiranya kita semua mengurangkan selar-menyelar secara terbuka kerana ia tak banyak membantu. Mari kita harmonikan situasi dan pandang ke hadapan. Sesiapa yang lebih ramai kawan akan menang ke atas mereka yang mencipta permusuhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program Operasi Sanitasi Awam, di Presint 4, di sini, hari ini, Annuar mengulangi kenyataan sama dengan menuntut semua pihak mengutamakan kerjasama dan penyatuan..

“Kepada parti politik termasuk parti saya sendiri dan kawan-kawan serta saya sendiri, saya fikir kita kena utamakan kerjasama dan penyatuan.

“Kalau kita dah stabil (krisis COVID-19) seperti itu dan kalau nampak keadaan (politik) masih tidak stabil kerana masing-masing pihak ada majoriti tipis, kita adakah pilihan raya umum.

“Kita bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin adakan pilihan raya secara maya. Apabila berlaku ketidakstabilan akan ada pihak merasakan mereka boleh menjadi perdana menteri,” katanya. – Berita Harian

Spread the news