SAN FRANCISCO: Apple menampilkan empat iPhone baharu menggunakan standard baharu yang bakal menjadi titik perubahan kepada teknologi tanpa wayar berkelajuan tinggi.
“Hari ini adalah permulaan era baharu bagi iPhone,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, semasa strim pelancaran dari ibu pejabat syarikat itu di California.
“Ini adalah detik yang besar bagi kita semua. Kami benar-benar teruja. 5G akan membawa tahap baharu prestasi bagi muat turun dan muat naik, penstriman video berkualiti lebih tinggi, permainan lebih responsif, aktiviti masa sebenar dan banyak lagi.”
Model baharu termasuk iPhone 12 yang direka bentuk semula, pengganti kepada iPhone 11 terlaris yang dilancarkan tahun lalu, dengan paparan 6.1 inci pada harga bermula AS$799 (RM3,310) yang akan berada di pasaran 23 Oktober ini.
Model iPhone 12 mini lebih kecil dengan paparan 5.4 inci bermula AS$699 (RM2,900) akan berada di gedung pada 13 November ini.
Dengan penambahan lebih banyak ciri-ciri, iPhone 12 Pro akan dilancarkan bulan ini bermula AS$999 (RM4,100) manakala Pro Max sebesar 6.7 inci dari AS$1,099 (RM4,500) pada November.
Telefon pintar baharu itu menawarkan penambahbaikan kepada sistem kamera dan reka bentuk semula yang menambah lebih banyak paparan dengan saiz keseluruhan lebih kecil.
Barisan baharu iPhone dijangka meningkatkan minat untuk menaik taraf telefon pintar bagi meraih manfaat daripada rangkaian lebih pantas. – Berita Harian