SENIMAN mengesahkan penyanyi yang juga bekas vokalis kumpulan Iklim itu masih dirawat dan dipantau rapi doktor dan jururawat di Hospital Kajang. Keadaanya dilaporkan stabil sehingga sekarang.
Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, persatuan mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang hanya mahu mengelirukan masyarakat dan tidak memikirkan perasaan keluarga Saleem.
“Kami mohon masyarakat tidak terpedaya dengan berita yang tular. Sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan Saleem akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke semasa.
“SENIMAN menadah tangan memohon kepada Allah supaya penyanyi Suci Dalam Debu itu segera sembuh seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Malam tadi, BH Online melaporkan Saleem kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Mahkota Cheras, di sini, kelmarin.
Motosikal yang dinaiki penyanyi Suci Dalam Debu itu dikatakan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta yang menyebabkan dirinya tercampak.
Isterinya, Juriah Bachok, berkata keadaan Saleem parah, malah hanya sedar sebanyak dua kali, semalam. – Berita Harian Online