Gagal bersikap adil kepada ADUN pembangkang, Asfia digesa berundur 0 6034

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan Wong King Wei menggesa Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana gagal bersikap adil kepada ahli dewan dari pembangkang.

Beliau berkata Asfia telah menyebabkan persidangan DUN Sarawak berlangsung secara tidak demokratik apabila melanggar peraturan hanya untuk melindungi ‘tuan politiknya’.

Katanya cara terbaik ialah menyingkirkan Asfia sebagai Speaker DUN ialah menukar kerajaan negeri semasa pilihan raya negeri akan datang.

“Suatu yang menyedihkan apabila saya mahu DUN Sarawak yang sudah berusia 150 tahun melalui proses reformasi menjadi institusi yang lebih demokratik, tetapi Speaker (Asfia) terlalu bersikap defensif.

“Speaker (Asfia) seharusnya mempertimbang cadangan saya, tetapi sebaliknya, beliau merujuk saya kepada Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN.

“Ini amat malang dan saya katakan Speaker adalah penghalang kepada reformasi DUN serta menjadikan institusi ini lebih demokratik ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi pendengaran Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN di Kompleks DUN Sarawak di sini, semalam.

Pada 12 November 2018, Wong dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN dan ‘dihalau’ daripada menghadiri Persidangan DUN pada hari itu.

Usul Speaker untuk merujuk Wong kepada jawatankuasa itu mendapati 56 undi menyokong manakala tujuh membantah.

Semuanya bermula apabila Wong terus meninggikan suara walaupun pembesar suaranya telah dimatikan dan tindakannya itu menyebabkan Asfia mengarahkan anggota keselamatan DUN mengiringi Wong keluar dewan.

Pada mulanya, Asfia memberitahu Wong agar berdiam diri dan mempertahankan dirinya di hadapan jawatankuasa berkenaan bagaimanapun Wong ingkar.

Kedegilan Wong itu menyebabkan Asfia berang lalu mengarahkan : “Keluar. Iring beliau keluar!”

Ketegaran Wong pasti telah merosakkan Asfia, yang terdengar memberi perintah: “Keluar! Ikutilah dia! “

Wong bagaimanapun terus bersuara dan suaranya masih kedengaran walapun tanpa sistem siar raya mengatakan: “Tidak, ini tidak betul”.

Sementara itu semasa sesi pendengaran semalam, Wong berkata beliau mempersoalkan kesahihan persidangan kerana ia tidak dihadiri pengerusi Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN yang juga Speaker DUN (Asfia).

Beliau berkata di bawah Perintah Tetap 73 (6), DUN Sarawak, sesi pendengaran boleh berlangsung dengan kehadiran empat ahli tetapi salah seorang daripada mereka mestilah pengerusi.

Menurutnya semasa sesi pendengaran itu Timbalan Speaker DUN Datuk Gerawat Gala menggantikan Asfia.

Beberapa ahli jawatankuasa yang hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Ditanya keputusan sesi pendengaran itu Wong berkata jawatankuasa tersebut tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan kerana ia hanya memberi cadangan kepada DUN.

“Daripada pengalaman sebelum ini, semua ahli dewan daripada pembangkang yang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN digantung daripada menghadiri Persidangan DUN sama ada selama enam bulan atau 12 bulan.

“Jadi saya menjangka akan menerima nasib sama, seperti rakan-rakan lain sebelum ini seperti mendiang Wong Ho Leng, Violet Yong (Pending) malah Chong Chieng Jen (Stampin).

“Cuma digantung untuk tempoh berapa lama, kita belum pasti, kita tunggu keputusan DUN,” katanya. – Utusan Borneo Online

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN 0 5602

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN

SIBU: Pandemik COVID-19 tidak akan menghalang Sarawak daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 mengikut undang-undang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing hari ini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa negeri ini akan menerima nasib yang sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes COVID-19 selepas mengadakan pilihan raya negeri pada 26 September lalu, beliau berkata pilihan raya itu masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.

“COVID-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini. Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.

“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A: Pembinaan dan Penyiapan Cadangan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Bawang Assan hari ini.

“Kita tiada pilihan, jika kita tidak buat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan,” katanya dan menambah beliau tidak tahu apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.

Beliau mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.

“Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya.

Mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding di Bawang Assan pada pilihan raya negeri nanti, Masing berkata ia bergantung kepada calon yang ditentukan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan disokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.

Masing berkata siapa pun calon, pengundi harus memberi sokongan penuh terhadap perubahan yang akan dilakukan di kawasan itu selepas mereka dipinggirkan begitu lama dari segi pembangunan infrastruktur.

Untuk GPS, kerusi Bawang Assan secara tradisionalnya diperuntukkan kepada SUPP dan penyandangnya kini adalah Presiden Parti Sarawak Bersatu, Datuk Seri Wong Soon Koh yang dilaporkan akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Wong yang memenangi kerusi itu apabila bertanding buat pertama kali sebagai calon SUPP pada pilihan raya negeri 1996, tidak pernah kalah dan menang sekali lagi pada 2016 walaupun beliau meninggalkan SUPP kerana masalah dalaman dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP), sebuah parti mesra Barisan Nasional.

Sementara itu, mengenai projek jalan raya 21.7 kilometer (km) bernilai lebih RM104.5 juta, Masing berkata apabila siap pada November tahun hadapan, ia akan menghubungkan Kampung Tutus, Kampung Sebedil dan Kampung Bungan Kecil ke bandar Sibu.

Beliau berkata Pakej B projek itu akan membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 16 km dengan kos RM200 juta menghubungkan kawasan berkenaan dengan Jambatan Igan sejauh 1.38 km yang sedang dibina di Igan, Mukah bernilai RM285 juta. – BERNAMA – Berita Harian

Spread the news

Beri peluang PM selesai krisis pandemik 0 5563

Beri peluang PM selesai krisis pandemik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberi masa untuk menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 yang ketika ini melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata selain krisis pandemik, negara ketika ini turut diuji dengan isu ekonomi, sekali gus menuntut semua pihak mengenepikan masalah kecil dan kembali kepada penyatuan serta perpaduan, selain muafakat dan kerjasama.

“Tak payahlah kita fikir pengganti buat masa ini…kita muafakat, bantu kerajaan. Bila COVID-19 reda, segera bubar Parlimen dan serah (mandat) pada rakyat.

“USA (Amerika Syarikat) lagi banyak kes COVID-19 dan mereka pun ada pilihan raya. Beri peluang PM (Perdana Menteri) selamatkan negara dan nyawa rakyat dulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang layak untuk menggantikan Muhyiddin.

Menerusi satu lagi ciapan, Annuar menegur kenyataan dibuat Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menentang semangat setiakawan.

“Adalah baik sekiranya kita semua mengurangkan selar-menyelar secara terbuka kerana ia tak banyak membantu. Mari kita harmonikan situasi dan pandang ke hadapan. Sesiapa yang lebih ramai kawan akan menang ke atas mereka yang mencipta permusuhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program Operasi Sanitasi Awam, di Presint 4, di sini, hari ini, Annuar mengulangi kenyataan sama dengan menuntut semua pihak mengutamakan kerjasama dan penyatuan..

“Kepada parti politik termasuk parti saya sendiri dan kawan-kawan serta saya sendiri, saya fikir kita kena utamakan kerjasama dan penyatuan.

“Kalau kita dah stabil (krisis COVID-19) seperti itu dan kalau nampak keadaan (politik) masih tidak stabil kerana masing-masing pihak ada majoriti tipis, kita adakah pilihan raya umum.

“Kita bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin adakan pilihan raya secara maya. Apabila berlaku ketidakstabilan akan ada pihak merasakan mereka boleh menjadi perdana menteri,” katanya. – Berita Harian

Spread the news