KOTA KINABALU: Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September tidak kurang pentingnya dengan sambutan Hari Kemerdekaan yang perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan idelogi politik.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Pentadbiran dan Pengajian Polisi UIiTM Sabah, Tony Paridi Bagang, berkata kerajaan Pusat harus komited mengubah mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia.
Tony berkata, seluruh rakyat khususnya Sabah dan Sarawak sudah pasti menanti dengan penuh penghargaan bahawa sambutan kali ini bukan sekadar memperingati detik sejarah penubuhan Malaysia semata-mata.
“Tetapi (rakyat kedua-dua negeri) lebih menginginkan sesuatu yang lebih signifikan dalam konteks pembinaan negara bangsa unggul dalam menitikberatkan kepentingan dan peranan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.
“Menerusi Malaysia baharu (perubahan kerajaan) sudah pasti rakyat Sabah dan Sarawak mengharapkan yang lebih baik dari kerajaan sebelumnya agar negeri ini lebih maju dan tidak tertinggal dalam arus pembangunan nasional.
“Hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri serta urus tadbir yang baik akan menjadi aspek penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya kepada NSTP.
Sambutan Hari Malaysia 2018, iaitu yang pertama di bawah kerajaan Pakatan Harapan berlangsung di Padang Merdeka di sini.
Sementara itu, Tony berkata, sambutan Hari Malaysia kali ini akan melakar sejarah dalam negara khususnya di Sabah kerana buat julung kalinya ia disambut oleh kerajaan baharu di peringkat Persekutuan dan negeri. – Berita Harian Online