MEXICO CITY: Pihak berkuasa berjaya menemui 246 paket kokain dalam perut dan usus seorang lelaki warga Jepun, yang maut ketika dalam perjalanan dari Bogota ke Tokyo.
Kejadian itu turut memaksa pesawat Aeromexico terbabit mendarat cemas di sebuah lapangan terbang di sini.
Pejabat pendakwa raya Sonora berkata, lelaki berusia 42 tahun, yang hanya dikenali sebagai Udo ‘N’ itu dilaporkan mengalami sawan, ketika dalam perjalanan dari Bogota, Colombia menuju ke Mexico City.
Katanya, lelaki itu dilaporkan akan mengambil penerbangan sambungan ke Jepun di Mexico City.
“Anak kapal berjaya mengesan seorang penumpang yang mengalami sawan dan memohon kebenaran mendapat cemas di Hermosillo, Sonora.
“Pesawat terbabit berjaya mendarat pada jam 2.25 pagi (waktu tempatan) pada Jumaat lalu.
“Paramedik yang menaiki pesawat bagi memberikan bantuan kemudiannya, mengesahkan Udo ‘N sudah meninggal dunia,” kata pejabat pendakwa raya dalam satu kenyataan.
Hasil bedah siasatan yang dijalankan mendapati lelaki itu menelan 246 paket kokain, berukuran 2.5 sentimeter.
“Punca kematian mangsa dipercayai akibat masalah otak bengkak akibat pengambilan dadah secara berlebihan,” kata kenyataan itu.
Menurut pendakwa raya, pesawat Aeromexico yang membawa 198 penumpang itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Tokyo, selepas mayat mangsa dibawa keluar. – AFP