KUCHING: Tiga pihak iaitu Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah yang menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu melakukan pengauditan sama ada wujud sebarang unsur melanggar pemahaman MA63.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata jika berlaku sebarang perlanggaran MA63, ketiga-tiga pihak yang menandatangani perjanjian itu perlu menentukan sama ada cukup serius untuk membatalkannya.
“Kajian apa? MA63 adalah perjanjian yang diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah pertubuhan antarabangsa.
“MA63 adalah perjanjian pembentukan Malaysia sebagai persekutuan,” katanya di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota Kinabalu, Sabah malam kelmarin (Ahad).
“Mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti (dalam) MA63 memberikan asas kukuh mengukuhkan hubungan antara ketiga-tiga wilayah (Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak).
“Jelas sekali keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih ada daerah yang mundur dan tidak mempunyai kemudahan.
“Kajian MA63 pasti akan menimbulkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa amalan yang telah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata kajian ke atas MA63 dicadangkan Dr Mahathir hanya ‘umpan’ untuk menangguhkan proses mengembalikan status Sarawak dan Sabah seperti dalam perjanjian berkenaan.
“Sabah dan Sarawak seharusnya tidak tertipu lagi. 55 tahun ‘tutup mata’, ia lebih daripada cukup.
“MA63 perlu diaudit bukan dikaji kerana kajian membawa maksud tangguh. Ia sudah tertangguh selama 55 tahun!” tegasnya.
Menurut Masing, Sabah dan Sarawak boleh memulakan jawatankuasa audit kemudian disertai Kuala Lumpur.
“Jawatankuasa audit ini dianggotai dua daripada tiga pihak yang menandatangani MA63. Cukup kuorum!
“Dr Mahathir bercakap mengenai kleptorasi (pemerintahan oleh pencuri). Apa yang telah Petronas lakukan sepanjang 22 tahun di Sarawak? Bukankah itu mencuri,” ujarnya.
Masing berkata janganlah Sarawak khasnya melakukan kesilapan sama untuk kali kedua dengan janji Dr Mahathir untuk mengembalikan status sama rata Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malayia.
“Jangan seperti kita makan tebu dua kali, pada pangkal sahaja manis tetapi hujungnya tawar (permulaan sahaja manis tetapi pahit hujungnya),” tambahnya.-Utusan Borneo Online