SIBU: Seorang majikan diberkas pada Isnin selepas disyaki berulang kali merogol pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) di tempat kerja.
Mangsa, 24, yang baharu mendirikan rumah tangga pada awal tahun ini, hanya mendedahkan peristiwa hitam itu kepada suaminya pada pukul 7 petang, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, suspek yang berusia 40 tahun dipercayai telah merogol mangsa sebanyak tiga kali di sebuah bilik di premis tempat kerja di Jalan Muhibbah Rejang Park, di sini.
“Kali pertama pada bulan Mei 2017, kemudian bulan Ogos 2017 dan bulan April 2018. Mangsa juga telah diugut oleh suspek agar tidak memberitahu sesiapa tentang hal tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, mangsa yang mengalami masalah kecacatan pendengaran sejak kecil mula bekerja dengan syarikat milik suspek itu sejak 2014.
“Bagaimanapun, mangsa tidak dapat mengingati tarikh sebenar kejadian cuma ingat dia pernah dirogol tiga kali.
“Mangsa hanya mengingati masa sahaja iaitu lebih kurang pukul 5.30 petang dalam kesemua insiden rogol itu apabila kesemua pekerja sudah pulang,” jelasnya sambil menambah, mangsa mendakwa ditarik oleh suspek ke dalam bilik sebelum dirogol.
Mangsa turut dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan lanjut. “Suspek telah ditangkap dan akan direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek.Kes tersebut disiasat mengikut Sekysen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol. – Utusan Borneo Online