PALU: Selama dua hari Azwan hidup dalam sengsara apabila terpaksa berulang antara rumah mayat dan hospital sebelum menjumpai isterinya, Dewi yang berada dalam keadaan selamat dan sihat selepas dihanyutkan ombak tsunami yang melanda bandar Palu, Indonesia.
Penjawat awam berusia 38 tahun itu, berdiri di tepi bahu sebatang jalan sempit menceritakan kembali saat getir dengan terpaksa mengawal emosi, sambil air matanya mengalir di sebalik cermin mata.
“Saya sangat gembira, dan terharu – alhamdullilah saya dapat melihat dia lagi,” kata Azwan kepada AFP.
Kisah lelaki ini adalah sesuatu yang luar biasa, dalam keadaan bencana yang diketahui hanya memberi secebis harapan.
Menurut Azwan, Dewi sedang mendaftar sebagai tetamu untuk menghadiri festival di sebuah hotel yang terletak di tepi pantai, ketika gegaran berlaku. Tidak lama kemudian, air deras menghanyutkan dirinya.
“Saya dihempas ombak kuat. Sebaik saja sedar, saya berada di atas jalan di hadapan hotel. Saya mendengar orang ramai menjerit ‘Tsunami!, Tsunami!,” katanya.
Pakaiannya koyak, dia terpaksa berjalan melalui runtuhan di jalan raya hingga menjumpai pusat pemindahan tempat dia bermalam.
“Tidak ada makanan, tidak ada air. Kami diberitahu untuk menunggu hingga keadaan selamat sedangkan gempa susulan terus terasa,” katanya mengenang kembali kejadian itu.
Dewi bersyukur kerana dia masih diberi ‘satu lagi peluang’ hidup tetapi mengakui terpaksa berusaha mengatasi dugaan itu.
“Ketika ini, saya sendiri tidak percaya, saya masih hidup. Saya masih trauma, apatah lagi adik-beradik saya masih belum dijumpai,” katanya.
Sekurang-kurangnya 844 orang meninggal dunia dalam kejadian dua bencana dan menurut pegawai angka itu kemungkinan besar meningkat.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan memberi amaran bahawa 191,000 orang memerlukan bantuan segera, antaranya 46,000 kanak-kanak dan 14,000 orang dewasa. – AFP