BAU: Operasi mencari seorang lelaki berusia 22 tahun yang dilaporkan hilang di atas Gunung Singai di sini semalam diteruskan pagi ini tetapi setakat ini mangsa masih belum ditemui.
Menurut komander operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau Hirwandy Sarbini, setakat pukul 1 tengah hari ini operasi mencari masih diteruskan walaupun hujan di sekitar Gunung Singai.
Mangsa Stanley Kho dilaporkan hilang atas gunung berkenaan sejak petang semalam.
Hirwandy berkata tujuh anggota APM dan seorang orang awam turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
Menurut Hirwandy, seorang rakan mangsa yang bernama Alexander Lau telah melaporkan bahawa mangsa menaiki gunung berkenaan seorang diri pada kira-kira jam 8.30 pagi dan kenderaan mangsa masih di tempat parkir sehingga petang semalam.
Katanya, rakan mangsa itu ada berusaha menghubungi telefon bimbit mangsa, namun panggilan tidak dijawab dan empat rakan mangsa kemudian mengambil keputusan untuk naik ke atas gunung berkenaan untuk mencari mangsa.
“Bagaimanapun setelah usaha mencari mangsa gagal, Alexander Lau telah menghubungi BBP Bau pada jam 4.30 petang untuk memohon bantuan khidmat pasukan bomba dan penyelamat untuk mencari mangsa,” kata Hirwandy.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut BBP Bau telah menggerakkan sembilan anggota diketuai pegawai bomba Rani Anak Join ke Gunung Singai untuk mencari mangsa.- Bernama