Naib Presiden Umno Ismail Sabri berkata anggota parlimen pembangkang akan “menggegarkan” parlimen pada minggu depan untuk membangkitkan isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Anggota parlimen Bera itu berkata, ini demikian kerana, pengumuman yang dibuat Pakatan Harapan (PH) melalui Belanjawan 2019 berhubung pinjaman pendidikan itu tidak sama seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka.
“Saya harap isu berkaitan dengan pembayaran semula pinjaman PTPTN ini dapat dimasukkan dalam belanjawan tambahan seperti beberapa perkara lain yang tertinggal sebelum ini.
“Janjinya manifesto PRU adalah untuk mansuhkan terus tapi dipinda kepada yang gaji RM4,000 sebulan baru potong tapi selepas bentang bajet, bayaran kena buat selepas dapat gaji RM1,000 sebulan.
“Maknanya setiap mahasiwa yang mula bekerja kena bayar sebab gaji mereka yang diploma atau ijazah, lebih RM1,000,” katanya dipetik Sinar Harian.
Ismail berkata, beliau juga sudah menerima satu resolusi daripada Mahasiswa Malaysia 2018 yang membantah Rang Undang-undang Perbekalan 2019 yang disifatkan “tidak menjaga” kebajikan dan kepentingan mereka.
“Dulu kita tawar beri motivasi kepada yang cemerlang dapat kelas pertama akan ubah kepada biasiswa, tapi kini tiada lagi… Ini perkara yang tiada keistimewaan lagi kepada mahasiswa,” katanya.
Untuk rekod, dalam manifesto PRU ke-14 PH, tiada disebutkan pemansuhan PTPTN.
Namun, janji yang dinyatakan ialah menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan.
Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019 mengumumkan pembayaran balik PTPTN akan dilaksanakan dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan. – Malaysiakini