SIMBOLIK: Fadillah menyerahkan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu kepada Fazzrudin sambil disaksi Jamilah, Aidel, Azizul dan ahli Armada Pemuda.
SEMATAN: Rakyat Sarawak harus bersatu mempertahankan kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) agar ia terus ditadbir urus parti tempatan.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jika kuasa mentadbir DUN jatuh ke tangan parti luar maka segala undang-undang termasuk hak istimewa Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) boleh diubah.
“Kita kena pertahankan hak kita supaya DUN terus ditadbir oleh parti tempatan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kalau mereka (parti dari Semenanjung) menang sudah pasti mereka dapat menukar apa sahaja yang mereka mahukan termasuk undang-undang kita boleh ditukar, hak kita di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) juga boleh ditukar dan apabila ditukar siapa yang dapat keuntungan? sudah tentu mereka di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Armada Pemuda PBB Kembara Telok Melano 2018 di Kampung Telok Melano di sini malam kelmarin.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, untuk itu rakyat perlu memahami keadaan dan perjuangan yang sedang diusahakan Kerajaan Sarawak sebaik-baiknya.
“Sekarang ini kita berdepan dengan kerajaan persekutuan yang berhasrat hendak mengambil kepentingan kita supaya mereka dapat mengatur negeri kita ini mengikut acuan yang mereka mahukan bukan mengikut kehendak rakyat Sarawak sendiri.
“Sebab itu kita perlu memahami apa yang diperjuangkan kerajaan negeri melalui PBB dan GPS yang mana ia adalah untuk kepentingan rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata semangat memperjuangkan hak Sarawak dibangkitkan semula bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) yang perlu terus diperjuangkan rakyat Sarawak.
Katanya, ini penting agar Sarawak tidak lagi dipermainkan parti luar dalam mempertahankan hak negeri mengikut perlembangaan dan MA63.
“Pesan Allahyarham Tok Nan jaga Sarawak baik-baik, itu pesanan beliau dan atas dasar itulah kita mengambil ingatan ini untuk kita jaga negeri Sarawak sebaik-baiknya dengan menubuhkan GPS.
“Dengan parti kita sendiri (GPS), kita dapat menyuarakan suara kita dengan bebas dan menuntut sekeras-kerasnya apa jua hak negeri kita yang dipersetujui dalam MA63,” tegasnya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda PBB Fazzrudin Abd Rahman berkata, GPS adalah gabungan parti-parti tempatan yang merangkumi semua kaum yang ada di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menjelaskan, GPS menjaga setiap kehendak dan keperluan kaum menerusi dasar yang diperkenalkan dan dilaksanakan di Sarawak.
“Objektif kita adalah untuk memberi khidmat terbaik kepada setiap rakyat Sarawak dan kita buktikan komitmen ini dengan cara tindakan serta keputusan dalam apa yang kita lakukan,” katanya.
Sementara itu, ADUN Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu menggesa rakyat Sarawak terus bersatu berjuang mempertahan dan mengambil semula hak negeri ini.
“Kekalkan sokongan dan perpaduan kita agar hak Sarawak dapat kita terus pertahankan,” ujarnya.
Hadir sama ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Pemuda PBB Azizul Annuar Adenan dan ahli Armada Pemuda PBB – Utusan Borneo Online