KUCHING: Seorang lelaki ditangkap selepas didakwa merogol anak kandungnya berusia 12 tahun.
Difahamkan suspek berusia 40 tahun dan berasal dari Kampung Mapuk Tentu, Tebakang Serian ditangkap di tempat kerjanya di Jalan Pending pada pukul 9 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan mengesahkan tangkapan tersebut selepas laporan dibuat mangsa.
“Kejadian didakwa berlaku pada 2 Februari baru-baru ini di bilik sewa suspek di Matang ketika mangsa bersama dua lagi adiknya yang berusia sembilan dan 10 tahun yang terdahulunya dibawa oleh suspek untuk bersiar-siar iaitu sekitar pukul 5 petang.
“Bagaimanapun, suspek dikatakan bertindak merogol mangsa ketika adik beradik mangsa yang lain sedang leka menonton televisyen dan bermain telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mangsa dikatakan takut menceritakan kepada sesiapa mengenai kejadian tersebut sehingga dicurigai oleh ibunya pada Rabu lepas.
“Mangsa telah dihantar untuk pemeriksaan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan pakar sakit puan mengesahkan ada kesan koyakan pada kemaluan mangsa,” jelas Aidil.
Suspek dan ibu mangsa tidak tinggal bersama dan dalam proses penceraian.
“Mangsa tinggal bersama ibunya di Kota Samarahan tetapi pada hari kejadian suspek menjemput mangsa untuk bersiar-siar,” kata Aidil
Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – Utusan Borneo Online