KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap beberapa barang asas dan keperluan menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat setempat.
Tinjauan NSTP bagi mendapatkan respon orang ramai mendapati, walaupun SST baru diperkenalkan semalam, pengguna dilihat sudah mula mengeluh dengan kenaikan harga barang apatah lagi bagi mereka yang tidak peka dengan senarai lengkap barangan yang dikenakan cukai.
Berdasarkan barang yang disenaraikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), makanan laut yang diproses adalah antara yang dikenakan cukai.
Antaranya ikan kering, ikan masin bulu ayam, ikan pekasam, ikan tamban, udang geragau dan udang kering.
Bagi suri rumah, Riri Nelvia, 31, beliau berpendapat adalah tidak wajar untuk barangan kering seperti itu dikenakan cukai kerana ia adalah barang asas.
Katanya, selepas beberapa insentif rakyat ditarik balik oleh kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), beliau berharap kerajaan lebih bertimbang rasa dengan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi.
“Saya rasa sangat tidak wajar bagi ikan kering untuk dikenakan cukai. Bukankah lebih baik barang yang lebih besar dikenakan cukai seperti barang elektrik dan sebagainya.
“Peniaga juga mengambil kesempatan dengan pelaksanaan SST ini, bagi sesetengah barang saya lihat ia beberapa kali dinaikkan dan diturunkan harga. Mereka bagi alasan SST sedangkan tidak semua barang dikenakan cukai,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Perbezaan ketara terhadap harga ikan kering tenggiri dikenal pasti oleh seorang pemandu, Zaidi Soaid, 46, yang terkejut dengan harga baharu selepas SST.
“Kebiasaannya, harga asal bagi sekilo ikan kering tenggiri antara RM13 hingga RM14 saja, tetapi kini saya lihat harganya RM55 sekilo. Saya cukup terkejut.
“Rakyat tersepit dalam keadaan sebegini. Saya tidak pasti sama ada harga itu dikenakan kerana cukai SST atau peniaga yang mengambil kesempatan dalam situasi ini,” katanya.
Bagi seorang peniaga pula, Mazilah Mat Saad, 44, beliau turut menerima kesan terhadap kenaikan harga barang.
“Kita cuba positif dengan pentadbiran kerajaan baru, tetapi rasanya ‘keluar dari mulut harimau masuk ke mulut buaya’.
“Jika dulu beban dengan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) kini dengan SST pula, kami rakyat tersepit. Banyak lagi barang yang dinaikkan harga oleh pembekal.
“Selain itu kami berharap senarai lengkap barangan yang dikenakan cukai itu dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilaporkan berkata ketika ini senarai lengkap barangan yang dikenakan SST sudah dimuat naik di laman sesawang JKDM.
Bagaimanapun katanya senarai barangan itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas daripada semua pihak.
Sementara itu, peniaga di pasar Chow Kit, Chong Yong Bock, 60, berkata sehingga kini barangan basah di pasar itu tidak terkesan dengan pelaksanaan SST.
“Harga barang di sini masih terkawal, tiada sebarang aduan dari pelanggan mahupun kenaikan harga dari pembekal.
“Saya harap barang kecil seperti keperluan asas tidak dikenakan cukai, supaya semua pihak di setiap peringkat tidak terbeban,” katanya