Rafizi: Masa depan Sarawak cerah jika Anwar jadi PM 0 5601

PEMILIHAN PKR | Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan anggota parti itu di negeri ini supaya memilih calon Timbalan Presiden yang tepat, yang seterusnya dapat membantu proses menawan Sarawak pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Rafizi yang bertanding merebut jawatan berkenaan menentang penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sekiranya dipilih beliau akan menyusun strategi untuk menambah tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki ketika ini kepada 18 kerusi serta seterusnya menawan Sarawak sebagai kerajaan.

Katanya dalam barisan parti politik di Sarawak ketika ini, PKR berada di kedudukan terbaik menjadi pilihan rakyat negeri untuk membawa soal dan hak Sarawak dalam Persekutuan dikuatkan lagi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Sebab itu pemilihan timbalan presiden bukan soal siapa lawan siapa, bukan soal tua lawan muda, soal yang ada jawatan lawan yang tiada jawatan. Ini soal strategik, peluang untuk menang, menyusun organisasi parti untuk menyiapkan kita dalam dua tahun ini.

“Sekiranya perdana menteri adalah presiden kita, itu kedudukan terbaik untuk sahabat-sahabat PKR Sarawak membawa suara negeri dan mengatasi parti-parti yang selama ini memberi pelbagai janji kepada orang Sarawak.

“Masa depan dan kedudukan orang Sarawak peluangnya paling cerah untuk kita kembalikan apabila Anwar jadi perdana menteri kelapan, tetapi dengan satu syarat PRN Sarawak kita kena pastikan PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Debat Reformasi 20 Tahun yang turut dihadiri sebahagian pimpinan Reformasi 20 Tahun dan penyokong parti itu daripada pelbagai cabang seluruh negeri di sini, hari ini.

Rafizi berkata beliau juga akan membawa suara hati rakyat negeri ini dalam memastikan autonomi PKR Sarawak serta hak negeri dihormati.

Katanya beliau akan mengambil peranan mendidik supaya lebih ramai pimpinan PKR pusat berani bangun menyuarakan secara berterusan soal kedudukan Sarawak dan tidak lagi hanya menjadi isu mainan ahli politik apabila tiba waktu pilihan raya.

“Saya nak nyatakan kepada kawan-kawan di Sarawak, ramai jadi saksi (di sini hari ini) dan ditonton di luar oleh orang Semenanjung juga masanya sudah tiba pimpinan pusat PKR bila kita kata hormat autonomi yang ada kepada PKR Sarawak, itu bukan hanya cakap di bibir.

“Itu maksudnya bila balik ke Semenanjung, ke Kuala Lumpur kita mesti ambil peranan, Timbalan Presiden mesti ambil peranan mendidik sahabat-sahabat di Semenanjung bahawa ini harapan, hakikat yang dikehendaki sahabat di Sarawak yang mesti dihormati,” katanya.

– Bernama

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN 0 5417

COVID-19 tidak halang Sarawak adakan PRN

SIBU: Pandemik COVID-19 tidak akan menghalang Sarawak daripada mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 mengikut undang-undang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing hari ini.

Ketika ditanya mengenai kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa negeri ini akan menerima nasib yang sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes COVID-19 selepas mengadakan pilihan raya negeri pada 26 September lalu, beliau berkata pilihan raya itu masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat.

“COVID-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini. Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.

“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” katanya.

Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan upacara pecah tanah untuk Pakej A: Pembinaan dan Penyiapan Cadangan Jalan Sungai Bidut/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil di Bawang Assan hari ini.

“Kita tiada pilihan, jika kita tidak buat sekarang, selepas lima tahun (tempoh tamat) secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan,” katanya dan menambah beliau tidak tahu apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.

Beliau mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.

“Keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya.

Mengenai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding di Bawang Assan pada pilihan raya negeri nanti, Masing berkata ia bergantung kepada calon yang ditentukan oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan disokong Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS.

Masing berkata siapa pun calon, pengundi harus memberi sokongan penuh terhadap perubahan yang akan dilakukan di kawasan itu selepas mereka dipinggirkan begitu lama dari segi pembangunan infrastruktur.

Untuk GPS, kerusi Bawang Assan secara tradisionalnya diperuntukkan kepada SUPP dan penyandangnya kini adalah Presiden Parti Sarawak Bersatu, Datuk Seri Wong Soon Koh yang dilaporkan akan mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang.

Wong yang memenangi kerusi itu apabila bertanding buat pertama kali sebagai calon SUPP pada pilihan raya negeri 1996, tidak pernah kalah dan menang sekali lagi pada 2016 walaupun beliau meninggalkan SUPP kerana masalah dalaman dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP), sebuah parti mesra Barisan Nasional.

Sementara itu, mengenai projek jalan raya 21.7 kilometer (km) bernilai lebih RM104.5 juta, Masing berkata apabila siap pada November tahun hadapan, ia akan menghubungkan Kampung Tutus, Kampung Sebedil dan Kampung Bungan Kecil ke bandar Sibu.

Beliau berkata Pakej B projek itu akan membabitkan pembinaan jalan raya sepanjang 16 km dengan kos RM200 juta menghubungkan kawasan berkenaan dengan Jambatan Igan sejauh 1.38 km yang sedang dibina di Igan, Mukah bernilai RM285 juta. – BERNAMA – Berita Harian

Spread the news

Beri peluang PM selesai krisis pandemik 0 5393

Beri peluang PM selesai krisis pandemik

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberi masa untuk menyelesaikan krisis pandemik COVID-19 yang ketika ini melanda negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata selain krisis pandemik, negara ketika ini turut diuji dengan isu ekonomi, sekali gus menuntut semua pihak mengenepikan masalah kecil dan kembali kepada penyatuan serta perpaduan, selain muafakat dan kerjasama.

“Tak payahlah kita fikir pengganti buat masa ini…kita muafakat, bantu kerajaan. Bila COVID-19 reda, segera bubar Parlimen dan serah (mandat) pada rakyat.

“USA (Amerika Syarikat) lagi banyak kes COVID-19 dan mereka pun ada pilihan raya. Beri peluang PM (Perdana Menteri) selamatkan negara dan nyawa rakyat dulu. Saya percaya PM serah pada rakyat,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal mengenai kenyataan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon yang layak untuk menggantikan Muhyiddin.

Menerusi satu lagi ciapan, Annuar menegur kenyataan dibuat Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad, yang menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menentang semangat setiakawan.

“Adalah baik sekiranya kita semua mengurangkan selar-menyelar secara terbuka kerana ia tak banyak membantu. Mari kita harmonikan situasi dan pandang ke hadapan. Sesiapa yang lebih ramai kawan akan menang ke atas mereka yang mencipta permusuhan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program Operasi Sanitasi Awam, di Presint 4, di sini, hari ini, Annuar mengulangi kenyataan sama dengan menuntut semua pihak mengutamakan kerjasama dan penyatuan..

“Kepada parti politik termasuk parti saya sendiri dan kawan-kawan serta saya sendiri, saya fikir kita kena utamakan kerjasama dan penyatuan.

“Kalau kita dah stabil (krisis COVID-19) seperti itu dan kalau nampak keadaan (politik) masih tidak stabil kerana masing-masing pihak ada majoriti tipis, kita adakah pilihan raya umum.

“Kita bincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin adakan pilihan raya secara maya. Apabila berlaku ketidakstabilan akan ada pihak merasakan mereka boleh menjadi perdana menteri,” katanya. – Berita Harian

Spread the news