CALON PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali ketika wawancara dalam program ‘Berita Bernama’ yang disiarkan oleh Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, hari ini. – Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Dr Halimah Ali, berkata pengalaman membesar di kawasan pedalaman membuatkannya berasa dekat dengan denyut nadi rakyat susah sekali gus ia menjadi antara kekuatannya dalam usaha mengubah nasib penduduk miskin bandar.
Dr Halimah yang dibesarkan selama 17 tahun di kawasan pedalaman di Marudi, Sarawak, memahami apa yang dirasai penduduk miskin terutama apabila melihat 10 beranak terpaksa berhimpit di rumah yang kecil.
“Membesar dalam keadaan susah bukan perkara baru bagi saya kerana pada 17 tahun pertama hidup saya dibesarkan di pedalaman Sarawak (Marudi).
“Sangat menyedihkan apabila terdapat keluarga besar dan hanya bergantung dengan pendapatan RM600 sebulan di sini. Perkara ini tidak sepatutnya terjadi di kawasan bandar,” katanya pada sesi Tinjauan Mesra di Pasar Malam Lembah Subang, di sini, hari ini.
Dr Halimah turut menegaskan bahawa nasib penduduk miskin Lembah Subang juga mungkin tidak akan berubah sekiranya pengundi memilih calon Pakatan Harapan.
“Penduduk sepatutnya mengambil iktibar daripada pemerintahan kerajaan Selangor sebelum ini yang gagal mengubah nasib golongan miskin di Lembah Subang.
“Apabila wakil rakyat yang dipilih adalah dari kerajaan, mereka tidak boleh bersuara lantang sekiranya terdapat isu di kawasan mereka. Jadi, apa perbezaan yang akan berlaku sekiranya wakil kerajaan dipilih di sini?” katanya.
Justeru, Dr Halimah menjamin beliau akan menjadi suara pembangkang yang kuat bagi mengubah nasib penduduk miskin bandar di Seri Setia.
DUN Seri Setia diterajui wakil PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad selama dua penggal sebelum ini apabila memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan 13.
Kerusi itu kemudiannya diwakili Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada PRU-14 tetapi beliau meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.
PRK Dun Seri Setia pada 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara Dr Halimah dan calon PH, Halimey Abu Bakar.